Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Mei - Kedua-dua indeks nilai seunit eksport dan import mencatatkan pertumbuhan positif pada Mac 2021, bagi perbandingan bulan ke bulan, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, indeks nilai seunit eksport menokok 2.2% pada Mac 2021.
Ini terutamanya didorong oleh kenaikan semua seksyen terutamanya minyak galian (+8.3%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+4.0%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+1.0%).
“Sementara itu, indeks volum eksport turut mencatatkan trend yang sama dengan kenaikan dua digit 17.3%, disumbangkan oleh pertumbuhan indeks barang-barang keluaran kilang (+31.4%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+25.4%) dan pelbagai barang keluaran kilang (+18.3%).
“Indeks volum eksport pelarasan bermusim merekodkan pertumbuhan kecil 0.3% daripada 162.7 mata kepada 163.1 mata. Berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing meningkat 2.3% dan 28.0%,” katanya dalam sebuah kenyataan berhubung laporan tersebut.
Dalam pada itu, indeks nilai seunit import pula meningkat 1.0% bagi tempoh sama berbanding bulan sebelumnya.
Kenaikan ini disumbangkan oleh prestasi yang lebih baik bagi indeks minyak galian (+4.7%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.7%) dan barang-barang keluaran kilang (+0.5%), ujar Mohd. Uzir.
Katanya lagi, indeks volum import bertumbuh 14.8% pada Mac 2021 berbanding bulan sebelum, yang disumbangkan oleh pengembangan indeks bahan kimia (+23.0%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+14.8%) dan barang-barang keluaran kilang (+13.7%).
“Indeks volum import pelarasan bermusim pada Mac 2021 berkembang 3.3% daripada 157.2 mata kepada 162.4 mata. Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit import menyusut kecil 0.5% manakala indeks volum import meningkat 19.8%,” jelasnya lanjut.
DoSM turut melaporkan terma perdagangan Malaysia meningkat 1.2% bulan ke bulan daripada 101.5 mata kepada 102.8 mata pada Mac 2021.
Berasaskan tahun ke tahun, terma perdagangan Malaysia turut kekal positif 2.9% daripada 99.9 mata pada Mac tahun lalu. - DagangNews.com