Indeks Pelopor naik 3.8% pada Mei 2024, gambarkan ekonomi Malaysia berdaya tahan - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Pelopor naik 3.8% pada Mei 2024, gambarkan ekonomi Malaysia berdaya tahan - DOSM

Indeks Pelopor capai 3.8% kepada 114.2 mata pada Mei 2024 berbanding 110 mata setahun sebelumnya. -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 Julai - Indeks Pelopor, alat yang digunakan untuk meramalkan arah aliran ekonomi secara purata empat hingga enam bulan ke hadapan mencapai 3.8% kepada 114.2 mata pada Mei 2024 berbanding 110.0 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pencapaian pada Mei 2024 telah mengekalkan pertumbuhan positif Indeks Pelopor selama enam bulan berturut-turut.

 

"Peningkatan ini disokong terutamanya oleh kenaikan kukuh dalam Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (31.8%), diikuti oleh Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (20.6%). Melihat kepada prestasi bulanan, IP juga meningkat sebanyak 0.8 peratus disumbangkan terutamanya oleh Bilangan Syarikat Baru Didaftar (0.5%)”.

 

"Kadar pertumbuhan IP terlicin pada Mei 2024 kekal konsisten melebihi 100.0 mata, mencerminkan ekonomi yang berdaya tahan disokong oleh peningkatan aktiviti perlancongan dan permintaan luar yang memberangsangkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

ip mei

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerbitkan Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak & Susulan bagi Mei 2024 hari ini. 

 

Merujuk kepada senario ekonomi semasa, Dr Mohd Uzir berkata, Indeks Serentak (IS) mengekalkan momentum pertumbuhan sebanyak 2.2% kepada 126.1 mata pada Mei 2024 berbanding 123.4 mata pada bulan yang sama setahun yang lalu. 

 

Katanya, peningkatan ini dipacu oleh prestasi teguh dalam Nilai Caruman Benar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), 8.7%. 

 

"Pada masa yang sama, perubahan bulanan dalam IS juga mencatatkan peningkatan sebanyak 0.6%, disokong oleh semua komponen kecuali Kapasiti Penggunaan dalam Pembuatan (-0.2%)," ujarnya.- DagangNews.com