Indeks Pelopor susut 0.2% kepada 109.8 mata pada November 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Pelopor susut 0.2% kepada 109.8 mata pada November 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Jan - Malaysia menyaksikan penurunan bagi Indeks Pelopor sebanyak negatif 0.2% kepada 109.8 mata pada November 2023 berbanding 110 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan itu disebabkan prestasi kurang memberangsangkan dalam Bilangan Unit Kediaman Yang Diluluskan Pembinaan (-25.8%) dan Import Benar Semi Konduktor (-18.3%). 

 

Bagaimanapun katanya, Indeks Perusahaan Bursa Malaysia menunjukkan pertumbuhan sebanyak 17.1% dan kekal positif sejak Mei 2023. 

 

"Prestasi bulanan IP pula melonjak semula kepada 0.5 peratus% berbanding negatif 0.1% pada bulan sebelumnya, didorong oleh peningkatan ketara dalam Import Benar Semi Konduktor (1%)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, melihat kepada arah aliran jangka panjang terlicin pada November 2023, IP kekal berada di bawah trend 100 mata.

 

Sehubungan itu katanya, ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan pertumbuhan yang sederhana disokong prestasi berdaya tahan industri berorientasikan domestik meskipun terus berdepan dengan ketidakpastian pasaran antarabangsa.

 

"Bagi kedudukan ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mencatatkan 123.7 mata, meningkat 2.6% berbanding 120.3 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya. 

 

 

DOSM

 

 

"Prestasi ini disumbangkan kesemua komponen terutamanya Nilai Caruman Benar, KWSP (13.7%)," katanya.

 

Tambah kenyataan itu, berbeza dengan prestasi tahunan, IS bulanan menyusut negatif 0.3% dipengaruhi prestasi hambar kesemua komponen kecuali Gaji & Upah Benar, Pembuatan (0.1%). - DagangNews.com