Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Mac. - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) berkembang 1.2% pada Januari 2021 berbanding bulan sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan IPP pada bulan tersebut dipacu oleh indeks pembuatan dengan peningkatan 3.5%.
Katanya lagi, indeks perlombongan dan elektrik pula masing-masing menguncup 4.5% dan 4.6%.
"Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 3.5% pada Januari 2021 selepas mencatatkan pertumbuhan 4.1% pada Disember 2020.
"Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada Januari 2021 adalah produk peralatan elektrik & elektronik (7.9%).
"Produk petroleum, kimia, getah & plastik (4.5%) dan produk kayu, perabot, keluaran kertas & percetakan (2.4%)," katanya dalam laporan IPP Januari 2021 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Laporan tersebut memaparkan statistik IPP yang terdiri daripada tiga sektor utama iaitu perlombongan, pembuatan dan elektrik.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, industri berorentasikan eksport menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 4.6%, manakala industri berorentasikan domestik meningkat 1.5%.
Ujarnya lagi, output sektor perlombongan menguncup 4.5% pada bulan Januari 2021 berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.
"Kemerosotan tersebut disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak mentah & kondensat (-9.4%) serta indeks gas asli (-0.5%).
"Output sektor elektrik menyusut 4.6% pada bulan Januari 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya," katanya lagi. - DagangNews.com