Indeks Pengeluaran Perindustrian Jun 2024 naik 5%, sektor pembuatan jadi penyumbang utama - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Pengeluaran Perindustrian Jun 2024 naik 5%, sektor pembuatan jadi penyumbang utama - DOSM

Sektor pembuatan jadi penyumbang utama peningkatan IPP Jun 2024. -Gambar Fanjianhua Freepik
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 5.0% pada Jun 2024, mengekalkan momentum positif selama enam bulan berturut-turut. 

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan output dalam sektor pembuatan merupakan penyumbang utama, dengan peningkatan sebanyak 5.2% (Mei 2024: 4.6%) diikuti oleh pemulihan 4.9% dalam pengeluaran sektor perlombongan (Mei 2024: -6.9%).

 

Katanya, pada masa yang sama, sektor elektrik meningkat 3.5% (Mei 2024: 4.5%).

 

"Perbandingan dengan bulan sebelumnya, IPP meningkat 4.8% berbanding 3.5% yang direkodkan pada Mei 2024,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Penerbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenai IPP Malaysia, Jun 2024 memaparkan statistik IPP yang terdiri daripada tiga sektor iaitu Perlombongan, Pembuatan dan Elektrik.

 

Sementara itu, menurut Dr Mohd Uzir, kenaikan 5.2% dalam sektor pembuatan pada Jun 2024 didorong terutamanya oleh pengembangan dalam industri berorientasikan eksport pada 5.4% (Mei 2024: 3.7%), mencatatkan pertumbuhan tertinggi sejak September 2022. 

 

Beliau berkata, pengembangan pengeluaran yang kukuh dilihat dalam pembuatan kok & produk petroleum bertapis yang memulih kepada 12.5% (Mei 2024: -5.5%); dan pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan yang meningkat pada kadar lebih laju sebanyak 11.0% (Mei 2024: 4.8%).

 

ipp jun

 

"Selain itu, pembuatan komputer, produk elektronik & optikal turut menyokong pertumbuhan iaitu 4.9% pada Jun 2024 (Mei 2024: 8.4%). 

 

"Prestasi industri berorientasikan eksport ini selari dengan pertumbuhan positif dalam eksport barangan perkilangan negara pada Jun 2024 (6.4%). 

 

"Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport melonjak 11.8% (Mei 2024: 9.0%)," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Indeks Pengeluaran Perindustrian Mei 2024 naik 2.4% dipacu sektor pembuatan - DOSM

 

Sementara itu, Dr Mohd Uzir berkata, industri berorientasikan domestik bertumbuh sederhana 4.6% berbanding 6.4% yang direkodkan pada Mei 2024. 

 

Katanya, pertumbuhan lebih perlahan ini disebabkan oleh penurunan 10.7% dalam pembuatan kenderaan bermotor, treler & semi treler (Mei 2024: 10.3%); dan penyederhanaan dalam Pembuatan produk prosesan makanan kepada 3.9% (Mei 2024: 4.3%). 

 

"Selain tu, terdapat peningkatan dalam pengeluaran ouput pembuatan berkaitan aktiviti pembinaan iaitu pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin & kelengkapan (12.6%);  pembuatan produk galian bukan logam lain (8.9%); dan pembuatan logam asas (8.0%); sekali gus mengurangkan kesan penyederhanaan.

 

"Berbanding dengan Mei 2024, industri berorientasikan domestik merosot 5.4% berbanding pertumbuhan positif 2.3% pada bulan lepas," ujarnya.

 

Dr. Mohd Uzir menambah, pengeluaran dalam sektor perlombongan meningkat 4.9% pada Jun 2024, berbanding penurunan 6.9% yang direkodkan pada bulan sebelumnya. 

 

uzir
DR MOHD UZIR MAHIDIN

 

Kata beliau, pertumbuhan ini didorong oleh pemulihan sebanyak 6.0% yang dicatatkan dalam pengeluaran Gas Asli (Mei 2024: -10.3%) dan pertumbuhan 3.4% dalam pengeluaran Minyak Mentah & Kondensat (Mei 2024: -1.9%) pada bulan tersebut. 

 

"Sementara itu, penjanaan elektrik bertumbuh 3.5% peratus tahun ke tahun pada Jun 2024 (Mei 2024: 4.5%). Berbanding Mei 2024, indeks perlombongan meningkat 4.0% manakala indeks elektrik merosot 6.2%.

 

"Melihat kepada prestasi beberapa negara, IPP bertumbuh positif di China, Korea Selatan, Taiwan, Vietnam, dan Amerika Syarikat. 

 

"Sebaliknya, Singapura, Thailand dan Jepun mengalami penurunan dalam IPP pada Jun 2024," katanya.

 

Merumuskan kenyataan beliau, Ketua Perangkawan berkata, bagi suku kedua 2024, IPP terus meningkat sebanyak 4.5% berbanding 3.3% yang direkodkan pada suku pertama 2024.

 

"Peningkatan ini didorong oleh sektor pembuatan dengan pertumbuhan 4.9% (ST1 2024: 2.1%). 

 

"Sementara itu, IPP bagi sektor Perlombongan dan Elektrik masing-masing meningkat sederhana sebanyak 2.4% (ST1 2024: 5.9%) dan 5.3 peratus (ST1 2024: 9.1%). 

 

"IPP menurun 1.2% berbanding suku pertama 2024, dipengaruhi oleh penurunan dalam sektor perlombongan.

 

"Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini (Januari – Jun 2024), IPP meningkat 3.9% (Januari – Jun 2023: 1.2%) dengan kesemua sektor mencatatkan peningkatan, iaitu indeks Perlombongan (4.2%); indeks Pembuatan (3.5%); dan indeks Elektrik (7.1%),” ujarnya.- DagangNews.com