Indeks Pengeluaran Perindustrian Mei 2024 naik 2.4% dipacu sektor pembuatan - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Pengeluaran Perindustrian Mei 2024 naik 2.4% dipacu sektor pembuatan - DOSM

Peningkatan IPP Mei 2024 dipacu terutamanya oleh sektor pembuatan yang bertumbuh 4.6%. -Gambar hiasan Freepik
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 12 Julai - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 2.4% tahun ke tahun pada Mei 2024, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan tersebut dipacu terutamanya oleh sektor pembuatan yang bertumbuh 4.6% (April 2024: 4.9%) dan pengembangan 4.2% dalam output elektrik (April 2024: 7.8%). 

 

Katanya, walau bagaimanapun, pengeluaran sektor perlombongan merosot 6.9% berbanding pertumbuhan dua digit 10.0% yang direkodkan pada April 2024. 

 

"Perbandingan dengan bulan sebelumnya, IPP pulih kepada 3.5% daripada negatif 7.6%,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

DOSM melaporkan IPP Mei 2024 dengan memaparkan statistik IPP yang terdiri daripada tiga sektor iaitu Perlombongan, Pembuatan dan Elektrik.

 

ipp

 

Ketua Perangkawan mengulas lanjut, pertumbuhan stabil dalam output sector pembuatan disokong peningkatan dalam industri berorientasikan eksport, yang meningkat sebanyak 3.7% berbanding 2.6% yang direkodkan pada April 2024. 

 

Kata Dr Mohd Uzir, ini merupakan pertumbuhan tertinggi yang dicatatkan sejak November 2022 (5.1%), didorong terutamanya oleh pemulihan yang kukuh dalam Pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal kepada 8.4% (April 2024: -1.4%); dan peningkatan 4.8% dalam Pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (April 2024: 2.7%). 

 

"Momentum pertumbuhan ini turut digambarkan dalam prestasi eksport barangan perkilangan negara yang berkembang 13.5% pada Mei 2024 (April 2024: 11.9%). 

 

"Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport meningkat 9.0% berbanding negatif 11.6% pada April 2024. 

 

"Pada masa sama, pertumbuhan pengeluaran industri berorientasikan domestik kekal kukuh sebanyak 6.4% selepas mencatatkan 9.5% pada April 2024," jelasnya.

 

Menurut beliau, Pembuatan kenderaan bermotor, treler & semi treler merupakan penyumbang Utama dengan peningkatan sebanyak 10.3%; diikuti oleh Pembuatan produk galian bukan logam lain (9.8%); dan Pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin & kelengkapan (6.5%).

 

"Berbanding dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik berkembang 2.3%  (April 2024: -1.3%),” ujarnya.

 

uzir
DR MOHD UZIR MAHIDIN -Gambar DOSM

 

Dr. Mohd Uzir menambah, kemerosotan 6.9% dalam sector Perlombongan pada Mei 2024 disebabkan oleh penurunan pertumbuhan dua digit dalam pengeluaran Gas Asli iaitu pada negatif 10.3% (April 2024: 14.9%), dan kejatuhan 1.9% dalam output Minyak Mentah & Kondensat (April 2024: 3.5%).

 

Katanya, begitu juga indeks Perlombongan menyusut 8.9% selepas menyusut 6.3% pada bulan sebelumnya. 

 

"Sementara itu, penjanaan Elektrik meningkat 4.2% tahun ke tahun pada Mei 2024 (April 2024: 7.8%). 

 

"Perbandingan bulan ke bulan, indeks Elektrik pulih kepada 5.6% (April 2024: -4.0%),” katanya.

 

Pada Mei 2024, IPP menunjukkan peningkatan trend bagi beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Singapura, Jepun, Vietnam, dan Taiwan. Walau bagaimanapun, IPP menyederhana di China dan Korea Selatan sementara Thailand mencatatkan penyusutan.

 

Merumuskan prestasi IPP bagi tempoh Januari hingga Mei 2024, Ketua Perangkawan berkata, IPP bertambah baik iaitu sebanyak 3.6% berbanding 1.9% yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. 

 

"Pada tempoh tersebut, kesemua sektor mencatatkan pengembangan, iaitu indeks Perlombongan (4.1%); indeks Pembuatan (3.1%); dan indeks Elektrik (7.8%),” jelasnya. - DagangNews.com