KUALA LUMPUR 4 Ogos - India sedang mempertimbangkan untuk ‘keluar’ daripada sebarang hubungan perdagangan terutamanya negara-negara di Asia Tenggara yang terlibat dengan penghantaran semula barangan dari China.
Kualiti barangan yang dihantar semula dari China ke negara itu didakwa lebih rendah, menurut sumber dari kerajaan India.
Hubungan diplomatik antara India dan Beijing ketika ini tegang, dan negara berkenaan dalam usahanya untuk berdikari.
Sehubungan itu, India merancang untuk meningkatkan tahap kualiti import, mengenakan sekatan kuantiti, mengetatkan norma operasi serta memulakan pemeriksaan pelabuhan masuk untuk barangan dari Asia dengan lebih kerap.
Tindakan yang diambil itu dijangka menjejaskan Malaysia, Thailand, Vietnam dan Singapura serta negara ASEAN lain yang mempunyai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan India.
Sebelum ini, India merupakan pengimport besar barangan Malaysia terutamanya minyak kelapa sawit.
“Meningkatkan duti, impaknya terhad. Sekarang kami ingin meningkatkan standard kualiti dan juga memastikan bahawa barangan di laluan FTA berasal dari negara-negara tersebut.
“Jadi Jabatan Kastam akan mengambil tindakan lebih berwaspada berbanding sebelum ini,” kata sumber berkenaan seperti dipetik The Star.
Selain standard kualiti barang diminta dipertingkatkan 20% hingga 40%, perjanjian FTA juga dijangka disemak semula.
“Sebilangan besar rakan dagangan Asia telah menjadi tempat di mana hanya barangan dari China yang dihantar. Kami akan periksa satu persatu pproduk untuk memutuskan tindakan yang patut diambil dan sebahagian besarnya adalah bukan tarif,” tambah sumber.
Hubungan India dan China sudah lama tegang susulan pertikaian sempadan Hilamaya, dan bertambah teruk pada Jun lalu.
Bagaimanapun, Malaysia dan Thailand difahamkan belum menerima sebarang makluman rasmi dari India. - DagangNews.com