Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 12 Jan. - India antara negara utama yang terus memacu permintaan eksport minyak sawit di Malaysia.
Ini sekali gus melonjakkan harga minyak sawit mentah (MSM) ke tahap lebih tinggi walaupun pertumbuhan pengeluaran produk yang ‘suram’.
Menurut MIDF Research, purata harga MSM meningkat sebanyak 6.1% pada Disember 2020, berbanding bulan sebelumnya kepada RM3650.98 setiap tan metrik.
Ini terutamanya didorong oleh kemungkinan bekalan yang terhad kerana tahap inventori rendah, pemulihan permintaan eksport, jangkaan pengeluaran yang lebih rendah kerana isu pengurangan tenaga buruh dan musim monsun.
“Dalam masa sama, fenomena cuaca kering di Argentina mengancam bekalan kacang soya. Pada Palm Oil Economic Review and Outlook Virtual Conference dianjurkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) semalam, Dr. Sathia Varqa menjelaskan Argentina telah mengurangkan kawasan tanaman akibat musim kemarau dan pengeluaran 2020-2021 dikurangkan kepada 46.5 juta tan yang merupakan pengeluaran terendah sejak tiga tahun lalu.
“Minyak kacang soya yang lebih tinggi akan memberikan sokongan kepada harga MSM. Bagaimanapun, kami menjangkakan harga MSM akan menurun pada separuh kedua 2021 (2H21) kerana paras pengeluaran yang lebih baik akibat hujan yang akan meningkatkan hasil buah kelapa sawit dan permintaan eksport yang lebih rendah,” jelas MIDF dalam nota kajiannya hari ini.
Firma penyelidik itu percaya situasi bekalan minyak sawit yang terhad akan berterusan sehingga suku pertama 2021 (1Q21) memandangkan pengeluaran yang lemah ketika tempoh utama dan permintaan eksport lebih tinggi dari dua destinasi utama iaitu India dan China.
MIDF turut melihat pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam buah negeri tidak akan memberi impak yang ketara memandangkan sektor itu masih boleh diteruskan operasi.
Sementara itu, CGS-CIMB Research menjangkakan harga MSM akan berlegar dalam julat RM3,200 hingga RM3,600 setiap metrik tan pada bulan ini.
“Kami meramalkan stok minyak sawit akan meningkat sebanyak 0.8% kepada 1.28 juta tan menjelang penghujung bulan ini dengan pengeluaran dan eksport masing-masing menurun sebanyak 8% dan 30%.
“Kami menjangkakan pengeluaran akan menjadi lebih rendah kerana faktor musim, termasuk hujan yang lebih lebat daripada jangkaan di beberapa kawasan minyak sawit utama.
“Faktor utama yang mempengaruhi harga MSM adalah impak La Nina ke atas biji minyak dan bekalan minyak sawit, perkembangan cuaca di Amerika Selatan, dasar levi ekport dan cukai kerajaan serta mandat biodiesel,” jelas CGS-CIMB. - DagangNews.com