KUALA LUMPUR 12 Feb - Kontroversi rancangan Indonesia untuk membeli pesawat pejuang terpakai Mirage 2000-5 milik Qatar akhirnya terlerai setelah Jakarta membatalkan cadangan tersebut.
Republik itu membatalkan rancangan membeli 12 buah pesawat Mirage 2000-5 berusia 28 tahun ini yang dianggarkan bernilai AS$790 juta.
Perkara tersebut disahkan oleh jurucakap Kementerian Pertahanan Indonesia, Dahnil Anzar Simanjuntak dalam satu kenyataan tetapi tidak mengulas lebih lanjut tentang keputusan itu.
Bulan lalu, Jakarta mengumumkan untuk menangguhkan perjanjian membeli pesawat itu kerana kekangan kewangan.
Berikutan penangguhan tersebut, Jakarta akan menambah peruntukan bagi proses selenggaraan dan pengubahsuaian untuk pesawat Sukhoi dan F-16 Fighting Falcon sedia ada.
Walaupun berdepan dengan isu kekurangan pesawat, namun republik itu masih merupakan antara kuasa udara terkuat di rantau ini selepas Singapura dan di hadapan Thailand.
Dengan kira-kira 30,000 anggota, Indonesia memiliki kira-kira 110 pesawat tempur pelbagai jenis seperti 33 buah F-16 Fighting Falcons, 5 pesawat Sukhoi Su-27 dan 11 Sukhoi Su-30, Hawk 200, KAI T-50 dan Embraer EMB 314.
Sebelum ini rancangan pembelian itu menimbulkan kontroversi apabila ia diumumkan tahun lepas termasuk dibidas beberapa ahli politik kerana menyifatkan usia pesawat pejuang itu terlalu lama.
Mirage 2000 merupakan pesawat tempur era 70-an yang pertama kali diterbangkan pada Mac 1978.
Sementara varian Mirage 2000-5 yang dimiliki Qatar dipesan pada tahun 1994, diterima pada 1996 dan dioperasikan secara rasmi oleh Tentera Udara Qatar pada 1997.
Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto yang juga calon bakal presiden telah dikritik mengenai perjanjian itu oleh pesaing-pesaing politiknya semasa berkempen.
Ketika ini Prabowo merupakan pendahulu Pemilihan Umum (Pemilu) 2024 yang berlangsung pada Rabu ini dan disebut-sebut sebagai bakal memenangi kerusi Presiden Indonesia.
Beliau bagaimana pun mempertahankan pembelian itu semasa salah satu perbahasan presiden.
Tegas Prabowo, pesawat pejuang terpakai itu masih baik untuk 15 tahun lagi dan diperlukan sementara negara menunggu penerimaan pesawat tempur baharu.
Pembelian ini sebagai gap (penggunaan sementara) sebelum Indonesia menerima sebahagian daripada 42 buah pesawat Dassault Rafale yang dibeli pada 2022 dengan harga AS$8.1 bilion.
Pesawat terpakai itu akan diterima dalam tempoh 24 bulan selepas perjanjian ditandatangani.
Pembatalan ini mungkin merencatkan sedikit proses pemilikan aset-aset baharu yang telah dirancang, namun ia dilihat tidak memberi kesan besar.
Ini kerana selain Dassault Rafale, Jakarta juga telah bersetuju membeli 24 buah pesawat Boeing F-15EX dari Amerika Syarikat.
Memiliki F-15EX bakal menggandakan kuasa udara Indonesia di tengah-tengah kemelut yang berlaku di Laut China Selatan.
AS juga tidak sewenang-wenangnya menjual pesawat F-15 yang mana ini menjadikan Indonesia sebagai pemilik kedua di rantau ini selepas Singapura.
Indonesia juga akan menerima 24 buah helikopter Lockheed Martin S-70M Black Hawk, dua pesawat pengangkut strategik Airbus A400M Atlas dan 12 dron Anka buatan Turkiye. - DagangNews.com