inDrive lancar program upDrive bagi menyokong ekosistem syarikat pemula di Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

inDrive lancar program upDrive bagi menyokong ekosistem syarikat pemula di Asia Tenggara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Okt - inDrive, peneraju dalam industri mobiliti melancarkan program upDrive bertujuan memupuk serta menyokong ekosistem syarikat pemula di rantau Asia Tenggara. 

 

Program itu mencerminkan komitmen syarikat bagi memupuk inovasi dan memacu pertumbuhan ekonomi di salah satu pasaran yang paling menjanjikan dan dinamik di dunia.

 

UpDrive merupakan program yang direka khusus bagi mempercepat tahap kematangan komuniti syarikat pemula tempatan di pasaran-pasaran baharu dengan menyediakan sumber-sumber yang bersesuaian.

 

Ketua Program Pemula inDrive, Daria Shubina berkata,  pihaknya yakin terhadap potensi komuniti syarikat pemula di Asia Tenggara. 

 

Beliau berkata, melalui upDrive, misi mereka adalah menyediakan inisiatif sokongan yang paling efisyen bagi syarikat pemula.

 

"Kami berhasrat memudahkan pertumbuhan dan kejayaan ekosistem syarikat pemula di Asia Tenggara dengan menghimpunkan pakar yang berpengalaman dan memberi mereka peluang untuk merangsang idea-idea inovatif baharu dan membangunkan idea-idea yang sedia ada," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Program UpDrive terdiri daripada empat peringkat iaitu pendidikan dan perhubungan perniagaan luar talian (offline) bagi penyumbang ekosistem syarikat pemula dan komuniti (seperti inkubator, pemecut, modal ventura, penganjur acara, wakil kerajaan, dan lain-lain).

 

Ia juga terdiri daripada panggilan untuk inisiatif pemula yang bertujuan menyokong pengasas syarikat pemula tempatan bagi mendapatkan geran kewangan selain inisiatif pemula tempatan terbaik akan menerima AS$15,000.

 

UpDrive akan dilancarkan secara rasmi di Jakarta, Indonesia pada 5 hingga 7 Disember 2023.  

 

Ia bakal menjadi acara penting dan bermakna bagi komuniti permulaan Asia Tenggara dan akan menampilkan penyampaian kajian kes, perbincangan panel dengan pemikir terkemuka dan pakar industri terkenal, serta pelbagai bengkel yang akan merangkumi topik-topik penting dan model perniagaan organisasi ekosistem syarikat pemula. - DagangNews.com