KUALA LUMPUR 28 April – Industri bahan binaan akan terus berdepan cabaran berikutan harga bahan binaan yang meningkat, meskipun terdapat peningkatan permintaan bagi bahan-bahan binaan.
Pengarah Urusan Unitrade Industries Bhd, Nomis Sim Siang Leng berkata peningkatan harga bahan binaan merupakan masalah yang besar bagi kontraktor, dan menyebabkan pengecilan margin keuntungan dan pada masa yang sama, harga bahan binaan dijangka akan terus kekal tinggi sekurang-kurangnya bagi 18 bulan akan datang.
"Harga bahan binaan dijangka kekal pada tahap sekarang, dan tidak akan kembali pada tahap sebelumnya memandangkan proses rantaian bekalan telah berubah dan kos fret semakin kompleks," beliau memberitahu media selepas melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu hari ini.
Unitrade akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities dan tarikh penyenaraian dijangka pada 14 Jun ini.
Terdahulu dilaporkan, harga bar keluli dunia telah melonjak naik disebabkan oleh permintaan kukuh hasil daripada pemulihan ekonomi global dan kenaikan harga bahan mentah, terutamanya sekerap, bijih besi dan arang kok, yang disebabkan oleh kesesakan bekalan dan gangguan rantaian bekalan global.
Mengulas mengenai prestasi industri binaan, Sim berkata perniagaan pembinaan telah menunjukkan prestasi yang buruk secara umum sepanjang dua tahun sebelumnya disebabkan COVID-19, dimana terdapat gangguan yang ketara dalam industri bangunan dan pembinaan akibat perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan pada pelbagai tempoh.
"Ini telah memberi tekanan kepada seluruh ekosistem dan mengurangkan permintaan untuk bahan khususnya," ujar beliau lagi.
Mengulas mengenai prospek industri binaan, Sim menjelaskan bahawa industri bahan binaan adalah salah satu industri asas yang paling penting dalam ekonomi negara, yang berkaitan secara langsung dengan pembangunan negara.
"Didorong oleh faktor makroekonomi yang semakin menggalakkan dan pemulihan ekonomi yang sedang berjalan dengan baik, Kementerian Kewangan telah mengunjurkan Keluaran Dalam Negeri Kasar sektor pembinaan berkembang sebanyak 11.5 peratus kepada RM59 bilion pada tahun ini.
Sementara itu, IPO Unitrade membabitkan tawaran awam sejumlah 312.5 juta saham-saham baharu yang mewakili 20 peratus daripada penambahan modal sahamnya selain tawaran jualan sejumlah 125 juta saham-saham sedia ada.
Daripada 312.5 juta saham baharu, sebanyak 78.1 juta saham diperuntukkan bagi orang awam Malaysia melalui undian manakala 63.5 juta saham bagi pengarah, kakitangan serta mereka yang layak dan telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan serta 53.7 juta saham untuk penempatan persendirian bagi pelabur terpilih.
Sejumlah 117.2 juta saham pula dikhususkan untuk peruntukan persendirian bagi pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
"Bagi 125 juta saham untuk dijual, sejumlah 78.1 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI, dan 46.9 juta saham akan diberikan kepada pelabur terpilih," kata Sim lagi.
Unitrade yang berpangkalan di Selangor, adalah pemborong dan pengedar bahan binaan serta mempunyai 6,319 pelbagai jenis unit simpanan stok (SKU) seperti paip, injap, kelengkapan dan aksesori kerja-kerja mekanikal dan elektrik (M&E) serta produk keluli dan bahan binaan lain untuk kerja-kerja sivil.
Syarikat itu juga mempunyai rangkaian 483 pembekal tempatan dan luar negara dengan perkhidmatan untuk 1,232 pelanggan aktif yang merangkumi kontraktor M&E, kontraktor bangunan, peniaga, pengeluar serta peruncit.
Unitrade juga terbabit dalam pembuatan dan penjualan paip pra penebat dan perkhidmatan sewaan peralatan sokongan struktur sementara untuk aktiviti pembinaan bangunan. – DagangNews.com