KUALA LUMPUR 13 Julai - Melihat kepada potensi dan peluang besar yang ada dalam indsutri penanaman buloh, kerajaan hari ini memutuskan untuk meneruskan perusahaan itu yang jelas memberi pulangan kepada pendapatan rakyat.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, usaha yang diperkenalkan kerajaan terdahulu itu akan diteruskan kembali dan perlu dilaksanakan menerusi usaha berganda bagi pemasaran tanaman komoditi baharu itu.
"Penanaman buloh memerlukan sentuhan komersial selain penyediaan bantuan berupa dana dan pembiayaan bagi menjayakan inisiatif berkenaan.
"Kita mengambil inisiatif menyambung penanaman buloh kerana peluangnya sangat besar. Maka, apa yang kita buat adalah berkempen secara besar-besaran," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin (PH-Hang Tuah Jaya) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau memberi respon berkenaan ketika ditanya mengenai pelan tindakan pembangunan industri buluh 2021-2025.
Terdahulu, bekas Menteri Industri Utama, Teresa Kok mencadangkan tanaman buluh sebagai tambahan alternatif menggantikan sawit.
Perkara tersebut adalah bagi melawan sentimen anti minyak sawit yang dijalankan Eropah yang menjejaskan eksport minyak sawit Malaysia ke pasaran global.
Mengulas lanjut, Mohd. Khairuddin memberitahu, pihaknya akan memastikan aspek perladangan tanaman buloh dilakukan secara komersial dengan penyediaan bajet dan pembiayaan kepada mereka yang berminat.
"Langkah itu mampu tarik pelabur di peringkat hiliran supaya buluh dapat diinovasikan.
"Jangan lihat buluh sebagai buluh semata-mata, sebaliknya lebih daripada apa yang kita dapat hasilkan seperti papan lapis, arang dan sebagainya. Ini mesti kita buat," katanya lagi. - DagangNews.com