Industri insurans hayat kembali pulih Q3 - LIAM | DagangNews Skip to main content

Industri insurans hayat kembali pulih Q3 - LIAM

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Industri insurans hayat kembali meningkat 44% pada suku ketiga bagi premium perniagaan baharu setelah mencatat penurunan 37% suku kedua 2020. 

 

Ini menyaksikan industri premium perniagaan baharu meningkat kepada RM2.92 bilon bagi suku ketiga berbanding RM2.02 bilion bagi suku sebelumnya. 

 

Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Loh Guat Lan berkata, peningkatan itu didorong oleh pelaburan berkaitan perniagaan yang menyumbang 94% pertumbuhan kepada RM1.43 bilion berbanding suku kedua, RM737.72 juta. 

 

Katanya, ini disebabkan kesan positif daripada pembukaan semula ekonomi dalam usaha mengekang wabak COVID-19 dan langkah-langkah kerajaan untuk menghidupkan semula aktiviti ekonomi. 

 

"Malah, pandemik ini juga telah meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai kepentingan perlindungan kewangan sebagai jaringan keselamatan untuk menghadapi suasana tidak menentu dalam kehidupan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Premimum perniagaan baharu bagi individu juga meningkat 32% pada suku berkenaan kepada RM733.75 juta berbanding RM556.01 juta pada suku kedua. 

 

Bagi premium perniagaan baharu kumpulan pula, ia meningkat 2% kepada RM750.51 juta daripada suku sebelumnya, RM732.22 juta. 

 

Dari segi jumlah polisi baharu, ia merekodkan sebanyak 340,061 polisi dalam suku ketiga, pertumbuhan 39% daripada suku kedua. 

 

Ia terdiri daripada 165,329 polisi baharu berkaitan pelaburan (30% pertumbuhan suku ke suku), 169,814 bagi polisi baharu individu (51% pertumbuhan) dan 4,918 polisi kumpulan (2% pertumbuhan). 

 

Menurut persatuan itu, industri telah memberi penangguhan selama 3 bulan kepada pemegang polisi yang terjejas akibat wabak itu. 

 

"Dalam tempoh itu, syarikat insurans akan menyediakan perlindungan kepada pemegang polisi yang terkesan sekiranya mereka tidak mampu membayar premium masing-masing. 

 

"Tetapi mereka perlu mengemukakan permohonan kepada syarikat insurans untuk mendapatkan kelulusan sebelum mendapat manfaat daripada bantuan ini, bermula 1 April hingga 31 Disember 2020," katanya. 

 

Setakat ini, jelas LIAM, lebih 1 juta pemegang polisi mendapat manfaat daripada inisiatif ini dengan jumlah premium bernilai lebih daripada RM1.6 bilion. 

 

Persatuan ini berkata, jika trend positif berterusan pada suku keempat 2020, industri ini menjangkakan pertumbuhan sederhana  1 digit bagi tahun ini. - DagangNews.com