Industri komunikasi dan multimedia kekal `bertahan' dalam situasi COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Industri komunikasi dan multimedia kekal `bertahan' dalam situasi COVID-19

KUALA LUMPUR 22 Julai - Industri komunikasi dan multimedia (C&M) kekal mapan dalam persekitaran cabaran pandemik COVID-19 berikutan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan, transaksi, pembelian dalam talian selain aktiviti belajar dan bekerja dari rumah.

 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi Laporan Prestasi Industri (IPR) 2020, berkata industri tersebut menyumbang 7.9% atau RM142.96 bilion daripada jumlah keseluruhan permodalan pasaran Bursa Malaysia berjumlah RM1.81 trilion bilion pada tahun lalu.

 

"Namun begitu, permodalan pasaran industri C&M susut sebanyak 0.7% pada 2020 berbanding tahun sebelumnya akibat pandemik COVID-19.

 

"Tahun 2020 adalah tempoh mencabar bagi industri C&M berikutan pandemik COVID-19 yang mengakibatkan persekitaran pasaran terkesan oleh 'disruption' (gangguan) terhadap permintaan serta kemunculan beberapa trend baharu," kata MCMC dalam satu kenyataan, lapor Bernama.

 

MCMC berkata Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilancarkan pada Ogos 2020 bagi menambah baik infrastruktur digital dan kesalinghubungan negara telah berjaya mengurangkan kesan akibat pandemik terhadap sektor berkenaan.

 

Pada tahun lalu kata MCMC, permodalan pasaran sektor telekomunikasi telah meningkat sebanyak 0.3% kepada RM134.42 bilion.

 

Bagi tempoh sama, sektor pos dan kurier mencatat pertumbuhan ketara dengan peningkatan permodalan pasaran sebanyak 19.9% kepada RM3.25 bilion.

 

"Sebaliknya, sektor penyiaran terus berdepan tekanan berikutan sikap pengiklan yang lebih berhati-hati sepanjang tempoh pandemik serta penangguhan beberapa acara sukan besar seperti Olimpik Tokyo dan Liga Europa UEFA.

 

"Saingan pemain Over the Top (OTT) turut memberi kesan terhadap sektor ini. Faktor-faktor ini menyumbang kepada kemerosotan permodalan pasaran sebanyak 27.4% kepada RM5.29 bilion pada tahun lepas," katanya.

 

Langganan segmen TV berbayar (Pay TV) bagaimanapun meningkat sebanyak 3.1% kepada 7.34 juta langganan daripada 7.12 juta langganan pada 2019 susulan peningkatan langganan khidmat Internet Protocol Television (IPTV).

 

Klik di sini https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/MCMC-IPR_2020.pdf untuk laporan penuh IPR 2020. - DagangNews.com