Industri kreatif beri peluang pekerjaan kepada rakyat - Noraini | DagangNews Skip to main content

Industri kreatif beri peluang pekerjaan kepada rakyat - Noraini

 

KUALA LUMPUR 9 April - Industri kreatif berpotensi untuk menggerakkan ekonomi negara menjadi lebih dinamik selain menjana pendapatan rakyat. 

 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang memetik laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, sektor itu telah menyumbangkan kira-kira RM29.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun 2019.

 

Malah, pada tahun yang sama, industri itu turut memberikan peluang pekerjaan kepada 859,900 individu di seluruh negara, ujarnya lagi.

 

“Dalam Dasar Industri Kreatif Nasional, industri kreatif merujuk kepada penghasilan bakat individu atau berkumpulan berasaskan kreativiti, inovasi dan teknologi yang menjurus kepada sumber keberhasilan ekonomi dan pendapatan tinggi kepada negara.

 

“Secara purata, industri kreatif di negara-negara maju menyumbang antara 1% hingga 5% kepada KDNK mereka,” ucapnya semasa Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Putra Malaysia dengan Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), semalam.

 

Pada majlis sama, 'Writers Club' dan dua buku terbitan baharu Pusat Penerbit UPM turut dilancarkan sempena Persidangan Industri Kreatif Kebangsaan 2021, yang berlangsung pada 7 hingga 9 April.

 

Tambah Noraini, pemilihan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia merupakan peluang yang harus dimanfaatkan sebaiknya dalam usaha menjadikan rakyat Malaysia sebagai generasi Malaysia yang berilmu.

 

“Penulis dan penerbit perlu berani menongkah cabaran dengan menampilkan idea-idea kreatif dan inovatif untuk memajukan arena penerbitan penulisan kreatif negara.

 

"Usaha untuk memperkasakan industri kreatif dan industri buku di negara ini perlulah seiring dengan hasrat untuk membina masyarakat Malaysia yang bertamadun dan berdaya saing. 

 

"Perkara ini boleh dicapai menerusi budaya berkongsi pengetahuan, menulis dan membaca," katanya. - DagangNews.com