Industri mudah alih dijangka pulih 2H dipacu program Prihatin - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Industri mudah alih dijangka pulih 2H dipacu program Prihatin - Maybank IB

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Industri mudah alih dijangka kembali pulih tahun ini dengan sebahagiannya dipacu oleh program Prihatin yang diperkenalkan kerajaan.

 

Penganalisis Maybank Investment Bank (IB) Research, Tan Chi Wei berkata, ini akan menyaksikan 3 syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia (Axiata Bhd., Maxis Bhd dan Digi.Com Bhd.) dijangka merekodkan prestasi yang lebih baik pada separuh kedua ini.

 

"Hasil ketiga-tiga syarikat ini dijangka berkembang 0.5% tahun ini berdasarkan kepada prestasi separuh pertama yang mencatat pertumbuhan 1.2% bagi tahun ke tahun. 

 

"Bahkan, kadar kehilangan penguasaan pasaran bagi syarikat ini juga kekal stabil pada 2020," katanya dalam nota kajian.

 

Dengan mengambil kira pendapatan menerusi Webe (Telekom Malaysia Bhd) dan Yes (YTL Power International Bhd.), keseluruhan industri mudah alih susut 4.7% tahun ke tahun kepada RM21.4 bilion pada 2020.

 

Prestasi itu menunjukkan penurunan paling mendadak bagi industri tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Malah, perkhidmatan ketiga-tiga syarikat telco terbesar itu juga menyusut 6.3% tahun ke tahun pada 2020. 

 

Secara kumulatif, pendapatan syarikat tersebut merangkumi 81% daripada keseluruhan hasil industri pada 2020 manakala UMobile Sdn. Bhd. pula menyumbang sebanyak 14% daripada jumlah tersebut.

 

Webe pula satu-satunya operator yang mencatat pertumbuhan pada 2020. Dalam kalangan 6 pemain dalam pasaran mudah alih, hanya 3 telco itu sahaja yang merekodkan keuntungan (tidak berubah berbanding tahun sebelumnya). 

 

Pertumbuhan pendapatan perkhidmatan UMobile pada tahun kewangan 2020 turut terjejas, dengan hanya berkembang 2.7%, kadar paling perlahan dalam tempoh sedekad, disebabkan impak daripada pandemik COVID-19 sama seperti yang dialami 3 telco tersebut.

 

Maybank IB bagaimanapun meletakkan saham Axiata sebagai pilihan utamanya berikutan kedudukan Axiata lebih kukuh berbanding pemain lain ekoran pemulihan pendapatannya dalam tempoh jangka masa panjang. 

 

Ini membolehkan firma itu meletakkan saranan 'beli' bagi saham Axiata dengan harga sasaran pada RM4.50.

 

"Selain itu, Axiata juga berhasrat untuk beralih secara berperingkat-peringkat kepada syarikat dengan 'dividen tinggi' dalam beberapa tahun datang dan telah mengenalpasti beberapa inisiatif untuk membiayai sasaran dividen sesaham sebanyak 20 sen pada 2024," jelasnya. 

 

Namun, bagi keseluruhan sektor, firma itu memilih Telekom Malaysia Bhd. (TM) sebagai penerima manfaat terbesar daripada permintaan fiber yang tinggi menerusi pelaksanaan jalur lebar dan 5G.

 

Dengan langkah pengoptimuman kos yang sedang berjalan dilihat akan meningkatkan pendapatan seterusnya, Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' bagi saham TM dengan harga sasaran pada RM7.40. - DagangNews.com