Industri Pembuatan Q423 beroperasi pada kapasiti 79.8%, berkurang 0.4 mata berbanding Q422 - DOSM  | DagangNews Skip to main content

Industri Pembuatan Q423 beroperasi pada kapasiti 79.8%, berkurang 0.4 mata berbanding Q422 - DOSM 

Industri Pembuatan beroperasi pada kadar kapasiti lebih rendah pada 2023 iaitu 79.3% yang berkurang 1.1 mata peratus berbanding tahun 2022 (80.4%). /Gambar Lalit Kumar
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 21 Feb – Industri Pembuatan beroperasi pada kapasiti 79.8% pada suku keempat 2023 (Q42023), berkurang 0.4 mata peratus berbanding kadar 80.2% pada Q42022.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kapasiti penggunaan yang lebih rendah dalam industri Pembuatan terutamanya disebabkan penurunan subsektor Produk petroleum, kimia, getah & plastik (-4.2 mata peratus).

 

Turut mencatatkan penurunan katanya, Produk peralatan elektrik & elektronik(-0.5 mata peratus).

 

"Penurunan kadar kapasiti penggunaan pada Q42023 ini sejajar dengan trend Indeks Pengeluaran Industri Pembuatan yang menyusut 0.2 peratus (ST3 2023: -0.1%).

 

"Pengurangan kadar kapasiti pengeluaran adalah dipengaruhi terutamanya oleh permintaan yang rendah, bekalan bahan yang tidak mencukupi serta pembaikan & penyelenggaraan mesin & peralatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Menurut Ketua Pengarah DOSM itu, bagi prestasi keseluruhan tahun 2023, industri Pembuatan beroperasi pada kadar kapasiti lebih rendah iaitu 79.3% yang berkurang 1.1 mata peratus berbanding tahun 2022 (80.4%). 

 

dosm1

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pertumbuhan ekonomi Malaysia menyusut ke paras 3.7 peratus pada 2023 daripada 8.7 peratus pada 2022

 

"Hampir semua subsektor merekodkan penurunan kecuali Produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (+1.5 mata peratus; 80.7%); dan Kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain (+0.5 mata peratus; 82.1%).

 

"Industri berorientasikan eksport berkurang 2.1 mata peratus kepada 78.3% pada tahun 2023 (2022: 80.4%) manakala industri berorientasikan domestik merekodkan 81.4%, meningkat 1.1 mata peratus (2022: 80.3%)," katanya.

 

Sementara itu, menurut Dr Mohd Uzir, enam negeri mengalami penurunan kapasiti penggunaan tahun ke tahun iaitu Kedah, Kelantan, Melaka, Perlis, Terengganu dan Sarawak.

 

"Tambahan lagi, Perlis kekal merekodkan kadar kapasiti penggunaan terendah pada 72.3%,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, jelas Ketua Perangkawan, kapasiti penggunaan industri Pembuatan pada Q42023  adalah meningkat berdasarkan perbandingan dengan suku tahunan sebelumnya yang merekodkan  79.4%, meneruskan trend positif bagi dua suku tahun berturut-turut.

 

"Secara bulanan, kadar penggunaan dalam industri Pembuatan melebihi 80.0% bagi dua bulan berturut-turut, beroperasi pada 80.4 peratus dalam bulan Oktober 2023 dan 80.1% pada bulan November 2023. 

 

"Namun begitu, kadar kapasiti penggunaan pada bulan Disember 2023 menurun kepada 78.9%," katanya.- DagangNews.com