Industri permainan video melonjak ke AS$300 juta didorong COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Industri permainan video melonjak ke AS$300 juta didorong COVID-19

 

WASHINGTON 30 April – Nilai industri permainan video melonjak ke tahap AS$300 bilion (RM1.23 bilion) berikutan peningkatan kira-kira 2.7 bilion orang yang meluangkan masa bermain permainan tersebut semasa pandemik COVID-19 ini.

 

Menurut laporan firma kaji selidik Accenture, sektor permainan video tersebut kini bernilai lebih tinggi berbanding filem dan muzik digabungkan, dipacu oleh perolehan di dalam permainan video bergerak dan penekanan terhadap ketersinambungan semasa penjarakan sosial dilaksanakan.

 

“Kemunculan platform baharu permainan video dan perubahan demografik melonjakkan perniagaan permainan video keluar daripada sekadar produk khusus menjadi platform berasaskan pengalaman,” kata Seth Schuler, pengarah urusan industri perisian dan platform di Accenture.

 

Kajian itu mendapati industri permainan video meningkat sebanyak setengah bilion pemain di dalam tempoh tiga tahun ini dan menjangkakan lebih daripada 400 juta pemain baru akan muncul menjelang akhir 2023.

 

Bagi pemain terbaru yang wujud sekarang, 60% merupakan wanita, 30% berusia bawah 25 tahun dan satu per tiga mengenal pasti diri mereka sebagai bukan kulit putih, menurut laporan AFP.

 

Ini berbeza dengan demografi lazim pemain permainan video iaitu 61% lelaki dan lebih daripada satu per empat adalah berkulit putih dan berusia lebih 25 tahun.

 

Menurut kaji selidik itu lagi, pemain menghabiskan purata masa 16 jam seminggu untuk bermain, lapan jam menonton atau menyertai strim permainan dan enam jam seminggu berinteraksi di dalam forum atau komuniti permainan.

 

Pegawai Accenture, Robin Murdoch berkata, sektor itu terus berevolusi. “Kita menyaksikan kemunculan permainan sebagai sebuah ekosistem superplatform di mana pemain bertemu, berkomunikasi, menonton konsert distrim secara langsung, berbeli-belah atau mendengar muzik.”

 

Kaji selidik tersebut adalah berdasarkan data yang dikumpul secara tinjauan dalam talian dengan 4,000 pelanggan di China, Jepun, Amerika Syarikat dan Britain, serta wawancara dengan pegawai-pegawai eksekutif industri. – DagangNews.com