Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Sept. - Industri rokok sah telah merosot sebanyak 9.7% hingga 23.8% sejak 2014.
CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) menjangkakan trend ini akan berterusan selagi harga rokok kekal tinggi.
Sehubungan itu, salah satu pemain industri berkenaan, British American Tobacco (BAT) telah mengambil beberapa langkah untuk menangani kesan trend itu termasuk mengurangkan perbelanjaan tetap sehingga 23% pada separuh tahun pertama 2020 (1H20).
“Lebih penjimatan dapat diraih pada separuh tahun kedua 2020 (2H20) setelah perasionalan tenaga kerja dilaksanakan.
“BAT memperoleh kedudukan aliran tunai operasi bersih pada penghujung Jun 2020 selepas menurun pada suku pertama 2020 (1Q20),” jelas analisis CGS-CIMB.
Menurut BAT, jualan 1Q20 yang menurun sebanyak 22.5% berbanding tempoh sama pada tahun lalu didorong oleh isu logistik.
Setelah kumpulan syarikat itu berjaya mencapai paras bekalan rokok di kedai runcit susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan pada 4 Mei 2020, jualannya menunjukkan pemulihan.
Jelas CGS-CIMB, BAT juga menumpukan pengedaran rokok di kedai serbaneka seperti 7-Eleven setelah aktiviti merokok di kedai-kedai makan diharamkan pada Januari 2019.
Menurut penganalisis pengguna runcit CGS-CIMB, Syazwan Aiman Sobri, jualan tembakau di 7-Eleven pada suku kedua 2020 (2Q20) merosot sebanyak 23%.
Sementara itu, CGS-CIMB menyarankan untuk tambah saham BAT dengan harga sasaran (TP) RM14.45.
“BAT telah lakukan sebaik mungkin untuk kekal untung. Menurutnya, kaji selidik ke atas pendapat rakyat Malaysia terhadap pasaran gelap merupakan projek pertama ditujukan kepada kerajaan berhubung kesan rokok terlarang dikembangkan di negara ini.
“Pihaknya telah berbincang dengan pegawai kerajaan ke atas pelbagai mekanisme untuk menjadikan rokok sah lebih mampu milik,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com