Industri sarung tangan getah Malaysia dijangka kekal tidak stabil berdasarkan data eksport yang lemah - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Industri sarung tangan getah Malaysia dijangka kekal tidak stabil berdasarkan data eksport yang lemah - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Jun - RHB Investment menjangkakan industri sarung tangan getah Malaysia kekal tidak stabil dan keadaan itu jelas ditunjukkan menerusi data eksport yang lemah pada April lalu.

 

Firma itu berkata, keadaan itu menunjukkan bahawa permintaan masih tidak mencapai jangkaan industri untuk menjadikan inventori ke tahap normal seperti sebelum pra pandemik.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, peningkatan beransur-ansur dalam dinamik pasaran sepatutnya menawarkan kelegaan kepada pengeluar sarung tangan tempatan.

 

Katanya, risiko penurunan utama termasuk permintaan yang lebih lemah daripada jangkaan (akibat kapasiti bekalan yang berlebihan) dan kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan.

 

Firma itu berkata, jumlah eksport sarung tangan Malaysia menguncup 35% bulan ke bulan pada April, selepas meningkat sebanyak 10% pada Februari dan 8% pada Mac selain trend yang sama dilihat di China dengan jumlah eksport jatuh 17%.

 

“Kami menjangkakan permintaan untuk sarung tangan meningkat secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini memandangkan tahap inventori pelanggan terus berkurangan selain stok sarung tangan mereka menghampiri tarikh luput.

 

“Sarung tangan getah mempunyai jangka hayat antara tiga hingga lima tahun.

 

"Memandangkan kekurangan kejelasan mengenai permintaan untuk 2023, kami menjangkakan permintaan global akan menguncup sebanyak 5% tahun ke tahun  kepada 379 bilion keping," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu menjangkakan pertumbuhan bekalan industri negatif kira-kira 53 bilion untuk 2023 dengan kurang 40 bilion daripada Top Glove Corp Berhad dan 13 bilion kurang daripada Hartalega Holdings Berhad.

 

“Pembuat sarung tangan dikatakan telah menghapuskan barisan pengeluaran usang mereka secara berperingkat untuk mengurangkan tekanan kos," katanya. - DagangNews.com