Industri sawit bakal rugi RM28 bilion jika tiada kemasukan pekerja asing | DagangNews Skip to main content

Industri sawit bakal rugi RM28 bilion jika tiada kemasukan pekerja asing

KUALA LUMPUR 23 Mei - Industri sawit negara dijangka mengalami kerugian sebanyak RM28 bilion tahun ini sekiranya tenaga kerja asing tidak di bawa masuk secepat mungkin.

 

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, ketiadaan pekerja asing yang berkhidmat selaku penuai pada tahun lalu membuatkan sektor itu mengalami kerugian sebanyak RM21 bilion.

 

Beliau mencadangkan supaya pemegang taruh mengambil langkah penyelesaian jangka pendek termasuk membawa masuk segera pekerja asing untuk mengatasi masalah kekurangan pekerja dalam industri itu.

 

Seramai 32,000 pekerja lapangan dari Indonesia perlu dibawa masuk dengan segera kerana penutupan sempadan ketika Pandemik COVID19 telah menyebabkan kekurangan pekerja bagi melakukan tugas-tugas penuaian buah kelapa sawit.

 

“Bagi memudahkan proses pengambilan pekerja asing, proses tersebut perlu tuntas dan efisyen kerana pada masa kini, penyelarasan dalam proses itu perlu beralih kepada platform digital sepenuhnya tanpa sebarang campur tangan manusia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan dan pemilik-pemilik ladangan perlu bekerjasama dalam meneruskan pembiayaan pemerkasaan modal insan termasuk menaikkan kemahiran pekerja.

 

”Pembangunan dan pemerkasaan modal insan pekerja tempatan pula perlu diberi penekanan penuh kerana mereka (pekerja) yang memegang jawatan di peringkat atasan seperti pekerja-pekerja pejabat dan pengurus ladang yang akan memastikan pengurusan keseluruhan ladang terjaga sepenuhnya.

 

“Pemberian subsidi untuk program pendidikan yang betul mengenai ladang kelapa sawit juga perlu diberi keutamaan,” katanya.

 

Abdul Latif berkata, program-program yang diperkenalkan kerajaan perlu dibentuk dan diperkasakan ke arah pemikiran, persepsi dan pemahaman yang baik terhadap industri sawit.

 

Program kesedaran dan kesediaan juga perlu difokuskan ke arah inisiatif automasi dan mekanisasi bagi menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk melibatkan diri dalam sektor ini. - DagangNews.com