Inflasi di Malaysia susut kepada 3.6% pada suku pertama 2023 berbanding 3.9% pada suku keempat 2022 | DagangNews Skip to main content

Inflasi di Malaysia susut kepada 3.6% pada suku pertama 2023 berbanding 3.9% pada suku keempat 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mei - Inflasi keseluruhan Malaysia pada suku pertama 2023 mencatatkan penurunan kepada 3.6% berbanding 3.9% pada suku keempat 2022.

 

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, penurunan itu adalah disebabkan oleh inflasi teras yang sederhana dan harga minyak RON97 yang lebih rendah.

 

"Pengurangan inflasi teras itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh perkhidmatan terpilih termasuk perkhidmatan telefon dan telefaks, makanan di luar rumah serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan persendirian. 

 

"Meskipun tekanan kos terus menjadi reda, terutamanya harga komoditi global, inflasi teras kekal tinggi pada suku pertama berikutan keadaan permintaan yang terus kukuh tetapi tekanan harga terus meluas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Nor Shamsiah berkata, pada tahun ini, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana namun kekal melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini.

 

"Inflasi yang sederhana ini mencerminkan faktor kos global yang lebih rendah berikutan gangguan rantaian bekalan yang semakin reda dan harga komoditi yang lebih rendah," katanya.

 

Beliau berkata, inflasi teras akan kekal pada paras tinggi dalam keadaan permintaan yang kukuh.

 

"Kawalan harga dan subsidi bahan api yang sedia ada akan terus membendung sebahagian kesan kenaikan tekanan inflasi. 

 

"Imbangan risiko bagi prospek inflasi cenderung ke  arah inflasi menjadi lebih tinggi dan terus bergantung pada sebarang  perubahan pada dasar dalam negeri, perkembangan pasaran kewangan dan harga komoditi global," katanya. - DagangNews.com