Inflasi Malaysia April 2024 kekal 1.8%, harga makanan di luar rumah naik 4% - DOSM | DagangNews Skip to main content

Inflasi Malaysia April 2024 kekal 1.8%, harga makanan di luar rumah naik 4% - DOSM

Subkumpulan makanan di luar rumah meningkat 4% pada Aoril 2024, lapor DOSM. -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 Mei - Inflasi Malaysia kekal 1.8% pada April 2024 untuk tiga bulan berturut-turut dengan Kumpulan Restoran & Perkhidmatan Penginapan naik 3.5% (Mac 3.0%) manakala Makanan & Minuman meningkat 2.0% (Mac 1.7%).

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang melaporkan Indeks Harga Penggna (IHP) April 2024 berkata, subkumpulan utama Makanan di luar rumah meningkat lebih tinggi kepada 4.0%berbanding 3.5% pada Mac 2024. 

 

"Antara item yang merekodkan peningkatan lebih tinggi berbanding bulan sebelum ialah seperti Nasi campur, Nasi goreng, Masakan berasaskan mi dan Nasi ayam," kata DOSM dalam kenyataan media hari ini.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan inflasi Restoran & Perkhidmatan Penginapan disumbangkan oleh peningkatan subkumpulan utama Perkhidmatan penyediaan minuman, 3.9 peratus (Mac 3.7%) dan Perkhidmatan penginapan, 2.4% (Mac 0.6%).

 

Katanya, peningkatan inflasi April turut didorong peningkatan kumpulan Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan, 3.1% (Mac 2024: 2.6%) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain, 3.0% (Mac 2024: 3.0%).

 

Inflasi bagi Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan meningkat 3.1% pada April 2024 berbanding 2.6% pada Mac 2024 yang disumbangkan peningkatan lebih tinggi bagi Barang kemas & jam tangan 17.0% (Mac 2024: 16.1%) seiring dengan kenaikan harga emas di pasaran global pada April 2024.

 

ihp1

 

Inflasi Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain meningkat pada kadar yang sama seperti direkodkan pada Mac 2024 iaitu 3.0%, didorong oleh peningkatan lebih tinggi subkumpulan Bekalan air & pelbagai perkhidmatan berkaitan dengan rumah kediaman (31.6%).

 

Pengangkutan pula mencatatkan peningkatan 0.8% manakala Maklumat & Komunikasi menurun kepada negatif 2.5 peratus, Pakaian & Kasut (-0.3%) dan Insurans & Perkhidmatan Kewangan (-0.1%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan Makanan & Minuman yang menyumbang 29.8% daripada keseluruhan wajaran IHP mencatatkan peningkatan 2.0% pada April 2024 (Mac 2024: 1.7%). 

 

Subkumpulan utama Makanan di rumah meningkat secara marginal kepada 0.4% pada April 2024 (Mac 2024: 0.3%). 

 

Peningkatan ini disumbangkan oleh peningkatan di kebanyakan kelas perbelanjaan. Kelas perbelanjaan Sayur-sayuran merekodkan peningkatan 3.2 peratus berbanding Mac 2024 (0.0%). 

 

ihp2

 

Ini diikuti oleh Bijirin & produk bijirin (1.9%); Gula, manisan & pencuci mulut (1.3%); Susu, produk tenusu lain & telur (1.0%) dan Buah-buahan & kacang (0.9%). 

 

Namun begitu, kedua-dua Ikan & makanan laut lain dan Daging masing-masing merekodkan penurunan negatif 2.3% dan negatif 0.9%.

 

Inflasi bagi kelas perbelanjaan Daging merekod penurunan kepada negatif 0.9% pada April 2024 (Mac 2024: 0.2%).

 

Daging ayam segar yang merupakan komponen terbesar merangkumi 32.6% dalam kelas perbelanjaan Daging terus mencatatkan penurunan kepada negatif 3.5%. 

 

ihp3

 

Berdasarkan pengumpulan data DOSM, purata harga Ayam standard Malaysia pada April 2024 adalah RM10.13 sekilogram berbanding RM10.45 sekilogram pada bulan April 2023 (Mac 2024: RM10.28).

 

Dr. Mohd Uzir turut menambah, berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.8 peratus. 

 

Walau bagaimanapun, katanya, empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.2%), Sarawak (2.8%), Pahang (2.4%) dan Selangor (2.2%).

 

"Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi Makanan & Minuman. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor pada 3.7%, diikuti oleh Pulau Pinang (3.1%), Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.9%) dan Sarawak (2.1%). 

 

"Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi Makanan & Minuman nasional iaitu 2.0% pada April 2024," jelasnya.

 

uzir
DR MOHD UZIR MAHIDIN - Gambar DOSM

 

Ujar Dr Mohd Uzir, inflasi keseluruhan secara bulanan merekodkan kenaikan 0.2% berbanding 0.1% yang telah dicatatkan pada Mac 2024. 

 

"Peningkatan ini didorong oleh Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (0.9%); Rekreasi, Sukan & Kebudayaan (0.8%) dan Restoran & Perkhidmatan Penginapan (0.3%).

 

"Sementara itu, Inflasi teras pada April 2024 meningkat kepada 1.9% berbanding 1.7% yang direkodkan pada Mac 2024. 

 

"Peningkatan ini didorong terutamanya oleh Restoran & Perkhidmatan Penginapan dan Makanan & Minuman yang masing-masing meningkat pada 3.5 peratus dan 3.2 peratus, diikuti oleh Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (3.1%)," katanya.

 

Kata Dr Mod Uzir, inflasi di Malaysia (1.8%) adalah lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (4.4%), Philippines (3.8%), United States of America (3.4%), Indonesia (3.0%) dan Republic of Korea (2.9%).

 

"Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding Thailand (0.2%) dan China (0.3%)," kata Ketua Perangkawan Malaysia itu. - DagangNews.com