Inflasi Malaysia diunjur pada paras 2.9% tahun ini berbanding 3.3% pada 2022- Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Inflasi Malaysia diunjur pada paras 2.9% tahun ini berbanding 3.3% pada 2022- Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Julai - Kenanga Research mengunjurkan inflasi utama di negara berada pada paras 2.9% tahun ini, lebih rendah berbanding 3.3% pada tahun lalu.

 

Firma itu berkata, walaupun harga makanan dunia menunjukkan penurunan namun fenomena El Nino selain Rusia menarik diri daripada perjanjian bijirin Laut Hitam dan larangan eksport beras India dijangka memberi kesan negatif terhadap keselamatan makanan di Asia. 

 

"Akibatnya, harga makanan di Malaysia mungkin meningkat pada separuh keempat 2023 dan suku pertama 2024.

 

"Bagaimanapun, Indeks Harga Pengguna (IHP) utama diunjurkan pada aliran rendah pada bulan-bulan akan datang, terutamanya disebabkan oleh kesan asas yang menggalakkan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Inflasi utama Malaysia meneruskan aliran menurunnya, berkurangan kepada 2.4% pada Jun 2023.

 

BACA JUGA: Kadar inflasi Malaysia menurun kepada 2.4% pada Jun 2023 - DOSM

 

Inflasi teras (tidak termasuk item yang tidak menentu dan harga terkawal) juga berkurangan kepada 3.1% pada Jun 2023. 

 

Namun begitu, firma itu berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada kadar 3% untuk enam hingga 12 bulan akan datang, memandangkan kedua-dua inflasi utama dan inflasi teras terus menurun.

 

Katanya, ketidaktentuan mengenai dasar kerajaan, risiko geopolitik dan keadaan cuaca mungkin mengubah pandangan harga, mendorong BNM untuk menilai semula dan mengambil tindakan yang sewajarnya jika perlu. - DagangNews.com