Inflasi Malaysia terus mereda kepada 1.9% pada September 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Inflasi Malaysia terus mereda kepada 1.9% pada September 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Okt - Inflasi Malaysia terus mereda kepada 1.9% pada September 2023 dengan mata indeks mencatatkan 130.8 berbanding 128.3 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan inflasi itu telah didorong oleh kenaikan lebih rendah bagi kumpulan restoran & hotel, 4.4% dan makanan & minuman bukan alkohol, 3.9%. 

 

"Selain itu, peningkatan turut disumbangkan oleh kenaikan kumpulan pelbagai barangan & perkhidmatan (2.5%); kesihatan (2.2%); pendidikan (2.0%); perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (1.6%) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (1.5%). 

 

"Manakala minuman alkohol & tembakau dan perkhidmatan rekreasi & kebudayaan masing-masing meningkat sebanyak 0.7% dan 0.6%," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Kumpulan makanan & minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5% daripada keseluruhan wajaran IHP telah merekodkan peningkatan sederhana iaitu 3.9% berbanding 4.1% pada Ogos 2023. 

 

Komponen makanan di rumah merekodkan peningkatan 2.5% berbanding 2.9% yang direkodkan bulan sebelumnya. Kenaikan komponen makanan di rumah adalah didorong terutamanya oleh subkumpulan beras, roti dan bijirin lain (4.1%). 

 

Ini diikuti oleh subkumpulan daging dan susu, keju & telur masing-masing meningkat 3.4%. Sementara itu, bagi komponen makanan di luar rumah kekal pada 5.9%, kadar sama yang direkodkan pada Ogos 2023.

 

 

dosm

 

 

Subkumpulan beras, roti & bijirin lain meningkat 4.1% pada September 2023 berbanding 4% pada Ogos 2023. Ia disumbangkan oleh kenaikan kelas perbelanjaan beras sebanyak 5% berbanding 3% pada Ogos 2023. 

 

Produk beras import dan beras wangi import masing-masing mencatatkan peningkatan 9.5% dan 6.1% berbanding 3.6% dan 2% pada Ogos 2023. 

 

Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mengumumkan empat langkah intervensi bagi menangani isu bekalan beras dalam negara. 

 

Salah satu langkah intervensi ialah pemberian subsidi RM950 bagi setiap tan metrik untuk beras putih import (BPI) bermula 5 Oktober 2023 bagi membolehkan BPI diperoleh pada harga runcit RM31.00 setiap 10 kilogram di Sabah dan Sarawak.

 

Subkumpulan daging yang merangkumi daging ayam, daging lembu, daging babi, daging kambing, daging kerbau dan daging itik mencatatkan peningkatan lebih perlahan kepada 3.4% pada bulan September 2023 berbanding 5.8% pada Ogos 2023. 

 

Ayam merupakan komponen terbesar dalam subkumpulan daging mencatatkan kenaikan 0.9% berbanding 5.7% pada bulan sebelumnya. Purata harga ayam standard Malaysia meningkat kepada RM10.01 sekilogram berbanding RM9.86 sekilogram pada bulan September 2022 berbanding RM10.21 pada Ogos 2023. 

 

Peningkatan pada subkumpulan daging turut didorong oleh peningkatan daging babi (17.6%) dan daging itik (4.7%). Namun, bagi perbandingan bulan ke bulan, subkumpulan daging telah mencatatkan penurunan kepada negatif 0.9% berbanding -1.1% pada Ogos 2023.

 

Mohd Uzir berkata, berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, 10 negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 1.9%. 

 

Bagaimanapun, enam negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Sarawak (2.7%). Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.6%), Perak (2.3%), Perlis (2.2%), Selangor (2.1%) dan Pahang (2%). 

 

"Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan & minuman bukan alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan Putrajaya (5.9%), diikuti oleh Sarawak (5.2%), Selangor (4.9%), Pulau Pinang (4.5%), Melaka (4.1%) dan Wilayah Persekutuan Labuan (3.9%)," katanya.

 

Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan & minuman bukan alkohol nasional iaitu 3.9% pada September 2023.

 

Selain itu, inflasi keseluruhan secara bulanan pada September 2023 meningkat 0.1% disumbangkan oleh minuman alkohol & tembakau dan pelbagai barangan & perkhidmatan, masing-masing mencatatkan kenaikan 0.4% dan 0.2%. 

 

Sementara itu, inflasi bagi suku tahun ketiga 2023 meningkat 2% kepada 130.7 berbanding 128.1 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya. Bagi perbandingan suku tahunan pula, inflasi meningkat 0.4%, kadar yang sama yang direkodkan pada suku tahun kedua 2023. 

 

Inflasi teras kekal pada 2.5% kadar yang sama yang direkodkan pada Ogos 2023, namun ianya masih melepasi kadar inflasi negara (1.9%). 

 

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan makanan & minuman bukan alkohol iaitu dengan kenaikan 5.1%. Ini diikuti oleh kumpulan Restoran & Hotel (4.4%) dan Pengangkutan (2.9%). - DagangNews.com