Inflasi teras tinggi dan konflik geopolitik berterusan, PublicInvest unjur prospek Chin Well tidak menentu | DagangNews Skip to main content

Inflasi teras tinggi dan konflik geopolitik berterusan, PublicInvest unjur prospek Chin Well tidak menentu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Dis - Public Investment Bank Research (PublicInvest) menjangkan prospek Chin Well Holdings Berhad tidak menentu kesan daripada inflasi teras yang tinggi secara berterusan selain kadar faedah yang tinggi serta konflik geopolitik yang berterusan.

 

Katanya, perkara itu menjejaskan pertumbuhan global kumpulan itu selain melemahkan permintaan untuk produk pengikat mereka.

 

Bagaimanapun, inflasi utama menunjukkan tanda-tanda mereda manakala harga komoditi serta kadar tambang kembali ke paras pra pandemik dengan rantaian bekalan semakin pulih.

 

"Selain itu, pihak pengurusan menjangkakan pesanan akan diterima pada suku akan datang didorong oleh projek pembinaan utama yang sedang dijalankan dan aktiviti penyimpanan semula apabila keadaan lebihan stok inventori semakin berkurangan.

 

"Kumpulan juga kekal komited mengejar pertumbuhan perniagaan dengan meningkatkan rangkaian pengedarannya di pasaran Eropah dan Amerika Syarikat (AS), serta pengembangan produk baharu dalam pasaran hiliran bagi mengurangkan tekanan margin dan melemahkan permintaan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu melaporkan untung bersih yang lebih lemah sebanyak RM2.6 juta, penyusutan 47.4% bagi 1QFY24 selepas permintaan mencatatkan penyusutan.

 

Keputusan adalah di bawah jangkaan dan konsensus, masing-masing menyumbang 5.3% dan 6.0% daripada anggaran tahun penuh. Ia disebabkan oleh permintaan yang lebih lemah daripada jangkaan daripada pasaran AS.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan kerana pihak pengurusan menjangkakan peningkatan pesanan pada suku akan datang didorong oleh projek pembinaan utama yang sedang dijalankan dan aktiviti penyimpanan semula.

 

PublicInvest mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP)  RM1.17 sesaham. - DagangNews.com