Ingenieur Gudang beli tanah seluas 3.77 hektar di Puncak Alam bernilai RM30.45 juta | DagangNews Skip to main content

Ingenieur Gudang beli tanah seluas 3.77 hektar di Puncak Alam bernilai RM30.45 juta

Pengarah Eksekutif Ingenieur Gudang Berhad, Melvin Lim
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Ingenieur Gudang Berhad (dahulunya dikenali sebagai Dynaciate Group Berhad) menerusi anak syarikatnya, Magnitude Resources Sdn. Bhd., memeterai perjanjian jual beli bersyarat (SPA) dengan Yuwang Development Sdn. Bhd. dan Global Bloom Sdn. Bhd. untuk pengambilalihan tanah perindustrian pegangan pajakan seluas 3.77 hektar dengan harga RM30.45 juta di Bandar Puncak Alam, Selangor.

 

Ia adalah cadangan pengambilalihan hartanah keempat yang dibuat kumpulan itu dalam tempoh kurang daripada dua bulan susulan pengukuhan aktivitinya dalam segmen pelaburan hartanah.

 

Kumpulan itu bercadang untuk membangunkan tanah tersebut menjadi ruang penyimpanan gudang yang menyasarkan peserta pasaran kurier dan logistik memandangkan lokasi Puncak Alam yang strategik namun cadangan pengambilalihan hartanah itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan dijagka siap pada 3QFY24.

 

Pengarah Eksekutif  Kumpulan, Melvin Lim berkata, kumpulan itu secara agresif meninjau kaedah membuat kemajuan ke dalam pasaran pelaburan hartanah kerana ia mempunyai permintaan yang lebih kukuh dan memiliki margin keuntungan yang lebih baik. 

 

"Kami akan terus mencari sumber bank tanah atau hartanah baharu di lokasi mudah diakses yang mempunyai potensi pembangunan. 

 

"Pada masa hadapan, kami berharap dapat menjana keuntungan yang baik untuk kumpulan daripada gabungan pendapatan sewa berulang serta peningkatan nilai harta tanah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Melvin berkata, lokasi hartanah Puncak Alam yang strategik yang terletak di daerah Kuala Selangor yang mempunyai pelbagai lebuh raya penting dan dikelilingi pembangunan perindustrian, komersial dan kediaman, menjadikan ia lokasi yang sesuai untuk tujuan penyimpanan dan logistik.

 

Pada 29 Julai 2022, kumpulan itu mengumumkan cadangan pengambilalihan ruang lantai selauas 435,002 di kompleks beli belah di Pandan Perdana pada harga RM9.07 juta untuk digunakan sebagai sebagai gudang penyimpanan. 

 

Pelaburan hartanah itu dijangka menghasilkan pendapatan sewa jangka panjang bagi kumpulan dengan memanfaatkan pertumbuhan e-dagang secara domestik. 

 

Sebelum itu, pada 14 Jun 2022, mereka juga telah mengemuka cadangan untuk mengambil alih tanah perindustrian pegangan bebas termasuk bangunan didirikan di Bentong dengan harga RM12 juta.

 

Pada 21 Jun 2022, mereka memeterai SPA untuk tanah perindustrian pegangan bebas di Nilai dengan harga RM15 juta.  - DagangNews.com