Ingin bantu usahawan terkesan akibat pandemik, Richworks buka 100,000 pendaftaran peserta program Bangkit Bisnes | DagangNews Skip to main content

Ingin bantu usahawan terkesan akibat pandemik, Richworks buka 100,000 pendaftaran peserta program Bangkit Bisnes

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Tidak mahu melihat lebih ramai golongan usahawan di negara ini gulung tikar akibat pandemik COVID-19 yang menjejaskan sumber pencarian mereka, RichWorks International Sdn. Bhd. menganjurkan program khas, Bangkit Bisnes Dari Krisis 3.0 - Solusi Bisnes & Pemasaran Digital. 

 

Menariknya, program yang akan diadakan selama 3 hari mulai 27 hingga 29 Ogos itu juga ditaja sepenuhnya oleh Richworks dengan menyasarkan semua peringkat masyarakat dan golongan usahawan yang berminat. 

 

Para peserta juga akan mendapat bimbingan dari Datuk Wira Dr Azizan Osman, yang dikenali sebagai Mentor Usahawan dan Pakar Pemasaran No.1 Asia.

 

Apa yang membezakan program kali ini lebih tertumpu kepada agenda pendigitalan bagi menggalakkan dan membimbing usahawan beralih daripada platform konvensional kepada e-dagang sekali gus membantu mereka meraih jualan yang lebih baik.

 

Timbalan Naib Presiden Kanan RichWorks International, Radz Mohd. berkata, pihaknya sangat memahami keadaan ini memandangkan ramai usahawan berhubung dengan mereka di media sosial untuk mendapatkan panduan dan bantuan menghidupkan semula perniagaan masing-masing.

 

"Tetapi, di sebalik banyak perniagaan ditutup, ada juga yang bukan sahaja bertahan malah menyaksikan perkembangan luar biasa ketika pandemik ini.

 

“Atas sebab itu, beliau mahu menganjurkan program Bangkit Bisnes ini supaya dapat memberi dorongan kepada usahawan bangkit semula dalam mengharungi tempoh sukar ini," katanya dalam sidang akhbar hari ini. 

 

Richworks
Timbalan Naib Presiden Kanan RichWorks International, Radz Mohd dalam sidang media Bangkit Bisnes hari ini.

 

 

Menurut Radz, terdapat 2 kumpulan usahawan ketika pandemik iaitu mereka yang tidak nampak jalan keluar dan hanya mengeluh dengan menyalahkan orang lain atau menjadi seseorang yang berusaha mencari jalan penyelesaian.

 

“Pilihan sebenarnya ada di tangan kita sendiri untuk bertindak perbaiki bisnes dan mahu mendapatkan hasil yang mana. Seperti kata Azizan Osman, jangan anggap negara kita akan pulih (pandemik) dalam masa terdekat.

 

“Pandemik ini masalah satu dunia dan kita jangan hanya tunggu dan terperangkap dan berfikir bahawa semua akan kembali normal seperti dulu. Buatlah persediaan sekarang, hari ini untuk masa depan diri, keluarga malah negara kita,” jelasnya lagi.

 

Sehubungan itu, Radz menggesa golongan usahawan malah anggota masyarakat untuk hadir ke program Bangkit Bisnes ini yang mana ilmu dan panduan penting dikongsikan oleh mentor usahawan terkenal itu.

 

Malah, beliau juga menegaskan, ketika krisis ini, usahawan perlu mengadaptasi norma baharu untuk mengikuti perubahan sikap yang berlaku disebabkan COVID-19 contohnya ramai orang mula membeli
secara online, penggunaan platform e-dagang, bekerja dari rumah dan lain-lain.

 

Beliau berkata, Richworks telah membantu 410,134 usahawan sepanjang tahun lalu manakala bagi tahun ini setakat Julai, ia membabitkan sebanyak 453,595 usahawan. 

 

"Ini menjadikan keseluruhan 853,729 usahawan telah dibantu sepanjang pandemik. Bagi saya ini satu pencapaian yang baik, kerana ada dalam kalangan mereka berjaya membangunkan semula perniagaan," katanya.

 

Di bawah program Mentorship Richworks 2021 ini pula, katanya, sebanyak 2,305 usahawan mengikuti bimbingan menerusi 3 peringkat iaitu Titanium seramai 325 orang diikuti Spire (619) dan Elite X (1,361). - DagangNews.com