KUALA LUMPUR 4 Mac - Inisiatif penganjuran Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Usahawan Tani (IPR-INTAN) di Universiti Putra Malaysia (UPM) (IPR-INTAN@UPM) bukan sekadar melahirkan petani moden malah bagi membekalkan ilmu perniagaan tani kepada peserta untuk dimanfaatkan di masa hadapan.
Program tersebut adalah kerjasama UPM dan Kementerian Ekonomi yang melibatkan peserta golongan B40 untuk meningkatkan pendapatan mereka melalui pertanian berteknologi tinggi.
Menurut peserta program itu, penanaman sayur salad akan memberi peluang kepada semua untuk mendapatkan daun segar di rumah dan siapa sahaja boleh mencuba menanam sayuran beriklim sejuk menggunakan kaedah penanaman poli beg ataupun hidroponik.
Alumni Bacelor Sains Hortikultur UPM, Nur Anissa Mat Nordin, 24, berkata, salad adalah sayur hijau yang mudah untuk ditanam dan dituai di rumah.
Katanya, dia mengusahakan dua jenis salad iaitu 'Roman Lettuce' dan 'Green Coral Lettuce' bersama-sama peserta IPR-INTAN@UPM.
"Penanaman salad dan pokok berbuah mempunyai perbezaan pengendaliannya. Tanaman berbuah memerlukan baja yang banyak dan pengendalian lebih berbanding sayuran berdaun yang lebih mudah cara penjagaanya.
"Bagi Green Coral Salad saiznya panjang dan tepi daun yang kerinting. Biasa salad ini akan dihidangkan bersama nasi ayam kerana kerangupannya. Apabila ditanam sendiri di rumah ia lebih jimat, malah lebih menarik boleh dipetik terus salad segar di dalam polibeg.
"Manakala Romaine Lettuce mempunyai bentuk yang besar, memanjang, daun yang bujur dan rasanya rangup dan manis. Lapisan luar daunnya berwarna hijau gelap bersaiz 8-9 inci panjang. Warna lapisan dalam daunnya pula berwarna kuning kehijauan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Nur Anissa juga berkongsi bahawa selepas tamat IPR INTAN UPM, dia akan membuka ladang salad di Labis, Johor demi menggalakkan masyarakat di Malaysia mengamalkan pengambilan sayur hijau yang mempunyai banyak khasiat tinggi.
Katanya, menanam sendiri salad harga lebih rendah dan amat menjimatkan, bebas bahan kimia berbahaya, kesegaran dan khasiatnya terjamin.
Sementara itu, Alumni Bachelor Sains Hortikultur UPM, Siti Mazatul Hawiyah Mohd Pu'ad, 25, berkata, penanaman salad dapat mengatasi masalah keterjaminan makanan dan memastikan penyimpanan makanan yang cukup.
"Sayuran beriklim sejuk seperti Salad Romaine dan Green Coral Lettuce ditanam di kawasan beriklim sejuk dengan suhu udara di antara 18-21°C. Bagaimanapun, sebagai alternatif kepada kebergantungan sayuran dan buah-buahan import, penanaman sayuran beriklim sejuk seperti salad dapat memberi hasil tanaman setanding dengan tanaman dari kawasan beriklim sejuk," katanya. - DagangNews.com