Inisiatif kerajaan bantu pemulihan pasaran hartanah tahun ini  | DagangNews Skip to main content

Inisiatif kerajaan bantu pemulihan pasaran hartanah tahun ini 

Prestasi pasaran hartanah di seluruh negeri juga bertambah baik pada separuh pertama 2021. - Gambar hiasan

 

 

 

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Pasaran hartanah tahun ini dijangka berada di landasan pemulihan seiring dengan pemulihan ekonomi secara berperingkat serta disokong oleh pelaksanaan pelbagai inisiatif dan bantuan kerajaan, menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC). 

 

Ini berdasarkan kepada prestasi separuh pertama 2021 (H1) bagi pasaran hartanah yang mencatat peningkatan ketara berbanding tempoh sama tahun lalu. 

 

Ia menyaksikan sebanyak 139,754 transaksi bernilai RM62.01 bilion dicatatkan, menunjukkan peningkatan
jumlah 21% dan nilai 32.1% berbanding tempoh sama pada 2020.

 

Dari segi hartanah kediaman, terdapat 92,017 transaksi bernilai RM34.51 bilion yang dicatatkan dalam tempoh tersebut, meningkat 22.2% dalam bilangan dan 34.7% bagi nilai tahun ke tahun. 

 

"Prestasi di seluruh negeri juga bertambah baik dalam tempoh berkenaan. Semua negeri mencatatkan jumlah
pasaran yang lebih tinggi kecuali Putrajaya manakala 4 negeri utama iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang membentuk sekitar 50% daripada jumlah kediaman nasional," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Bagi pelancaran baharu, menurut NAPIC, ia mencatat 24.7%, lebih baik berbanding separuh pertama 2020 (disemak semula 12.9%) dan separuh kedua 2020 (17%). 

 

Peningkatan prestasi jualan berkemungkinan disebabkan oleh pelbagai langkah oleh kerajaan seperti insentif Kempen Pemilikan Rumah (diperkenalkan semula dari 1 Jun 2020 hingga 31 Disember 2021) dan kadar dasar semalaman (OPR) yang rendah.

 

Selangor mencatatkan pelancaran baharu tertinggi di negara ini, menguasai hampir 24.7% (4,114 unit) daripada jumlah nasional dengan prestasi jualan 26.2%. 

 

Kuala Lumpur pula mencatatkan jumlah kedua tertinggi (3,651 unit, 21.9% syer) dengan prestasi jualan pada
3.5%. Johor di tempat ketiga (2,187 unit, 13.1% syer) dengan prestasi jualan 49.8%. 

 

Rumah teres mendominasi pelancaran baharu dengan teres 1 tingkat sebanyak 2,624 unit manakala teres 2 hingga 3 tingkat (5,455 unit) secara kolektif menyumbang 48.5% daripada jumlah keseluruhan unit, diikuti oleh unit kondominium dan pangsapuri dengan 41.4% (6,893 unit).

 

Sementara itu, untuk hartanah komersial pula, terdapat 10,433 transaksi bernilai RM10.93 bilion yang dicatatkan, meningkat 28.5% dalam bilangan dan 28.4% dalam nilai berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Semua negeri mencatatkan lebih banyak aktiviti pasaran dalam tempoh kajian kecuali Putrajaya dan Pahang. 
"Ia menyaksikan Selangor menyumbang bilangan dan nilai tertinggi kepada pasaran nasional, dengan 26.3% (2,741 transaksi) dan 30.8% (RM3.37 bilion) daripada jumlah bilangan dan nilai. 

 

"Ini diikuti oleh Kuala Lumpur dengan 13% (1,359 transaksi) dan 28.2% (RM3.08 bilion) dan Johor dengan 13.5% (1,410 transaksi) dan 11.6% (RM1.27 bilion)," katanya.

 

NAPIC berkata, prestasi kompleks perniagaan adalah sederhana pada separuh pertama 2021, dengan kadar penghunian keseluruhan menyaksikan sedikit penurunan pada 76.6% berbanding tempoh sama tahun lalu, 78.6%. 

 

Kuala Lumpur dan Selangor pula masing-masing mencatatkan kadar penghunian 81.6% dan 78.8% manakala Johor dan Pulau Pinang masing-masing memperoleh penghunian purata 73.4% dan 72.2%.

 

"Hanya satu sahaja bangunan siap dibina dicatatkan pada separuh pertama tahun ini iaitu tambahan ruang Setia City Mall, Shah Alam seluas 21,363 meter persegi, menjadikan jumlah ruang kompleks perniagaan di seluruh negara menjadi 16.93 juta meter persegi. 

 

"Terdapat 47 kompleks perniagaan dengan keluasan 1.94 juta meter persegi dalam penawaran akan datang dan 10 kompleks (0.34 juta meter persegi) dalam penawaran yang dirancang," tambahnya. 

 

Prestasi pejabat binaan khas secara keseluruhannya menurun kepada 78.5% lebih rendah daripada separuh pertama 2020 iatu 80.6%. 

 

Kadar penghunian purata bagi bangunan pejabat swasta menurun kepada 71.7%, menurun sedikit daripada 74.3% (separuh pertama 2020). 

 

"Pulau Pinang memperoleh kadar penghunian yang lebih tinggi pada 85.3% manakala Kuala Lumpur, Selangor dan Johor masing-masing mencatatkan lebih rendah daripada paras nasional iaitu pada 73.8%, 68.4%,
dan 72.7%," jelasnya. - DagangNews.com