Inisiatif Menu Rahmah idea Allahyarham Salahuddin Ayub wajar diteruskan | DagangNews Skip to main content

Inisiatif Menu Rahmah idea Allahyarham Salahuddin Ayub wajar diteruskan

Oleh Hayati Burhanuddin

Saudara Pengarang,

 


PEMERGIAN Datuk Seri Salahuddin Ayub baru-baru ini merupakan satu kehilangan besar kepada negara. Jasa beliau harus diperingati dan dikenang oleh kita semua.

 

Tidak dapat dinafikan harga barang, makanan dan juga kada inflasi telah meningkat secara mendadak ekoran krisis global dengan keberlangsungan perang di antara Ukraine dan Rusia merupakan cabaran besar yang dihadapi oleh kebanyakan negara.



Pada masa yang sama, ekonomi negara dan global sedang pulih akibat daripada sekatan atau ‘lockdown’ akibat penularan wabak COVID-19.



Allahyarham telah melancarkan Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5 sejak Januari 2022 di bawah inisiatif Payung Rahmah untuk meringkan beban kos sara hidup terutamanya yang berpendapatan rendah dan juga mahasiswa.



Inisiatif ini juga dikatakan merangsangkan ekonomi tempatan di mana ia membolehkan peniaga-peniaga makanan kecil untuk menambahkan jualan mereka selain dari jualan pada bulan Ramadan.



Menu Rahmah ini telah mendapat sambutan daripada syarikat-syarikat besar seperti McDonald’s, Mydin, Grab dan Jaya Grocer membuktikan bahawa inisiatif ini tidak menyajikan makanan kelas rendah kepada rakyat, tetapi keterangkuman atau 'inclusiveness'.

 

Datuk Seri Salahuddin juga menggariskan lima teras penting dibawah Payung Rahmah untuk rakyat iaitu: (i) megurangkan kos sara hidup, (ii) penjagaan kesihatan mampu milik dan berkualiti, (iii) sistem Pendidikan yang berkualiti, (iv) pekerjaan bermaruah, dan (v) rumah berkualiti dan mampu milik oleh rakyat.



Allahyarham juga merupakan seorang menteri yang berjiwa kental dan berhatikan rakyat. Beliau sentiasa didampingi dan disayangi oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

 

Beliau juga sentiasa mendengar isi luahan rakyat dan mengambil tindakan yang pantas bagi mengatasi isu kekurangan gula di beberapa negeri pada bulan Ramadan yang lepas selepas berunding dengan pengeluar-pengeluar gula negara.

 

Beliau juga sentiasa peka terhadap isu bekalan telur dan ayam yang dihadapi oleh negara. Allahyarham meneruskan subsidi kawalan harga ayam dan telur demi memastikan nasib rakyat terus terbela dan amat memahami situasi rakyat menanggung kos sara hidup yang tinggi.



Malangnya, beliau telah pulang ke Rahmatullah lebih dahulu daripada kita. Beliau banyak berjasa kepada negara dan jasanya tidak akan dilupakan oleh rakyat.



Inisiatif yang dilancarkan oleh Allahyarham harus diteruskan dan diharapkan pengganti beliau mampu memikul tanggungjawab seperti Datuk Seri Salahuddin.

 

Banyak lagi isu yang harus diselesaikan oleh Menteri baharu terutamanya isu bekalan makanan seperti beras, gula, ayam dan daging yang menjadi isu keselamatan makanan di masa yang akan datang.



Negara India yang merupakan pengeksport beras dunia (iaitu sebanyak 40% daripada perdagangan beras dunia) baru-baru ini mengumumkan larangan eksport ke atas beberapa kategori beras berikutan kenaikan harga domestik dan kebimbangan kekurangan dalam hasil tanaman adalah sesuatu yang diberi perhatian oleh Kerajaan Madani dan juga pengganti Datuk Seri Salahuddin Ayub.
 

Al-Fatihah
 

Hayati Burhanuddin
KUALA LUMPUR