City of Elmina, antara projek hartanah yang dibangunkan Sime Darby Property
KUALA LUMPUR 26 Ogos - Sime Darby Property Bhd. kembali mencatat keuntungan bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021 sebanyak RM19.1 juta dibantu oleh inisiatif pemasaran dalam talian yang agresif.
Bagi tempoh sama tahun lalu, ia merekodkan kerugian bersih berjumlah RM93 juta apabila sektor hartanah terjejas akibat perintah kawalan pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Sime Darby Property berkata, pendapatan bagi tempoh itu juga meningkat kepada RM502.83 juta berbanding RM288.23 juta bagi tempohs ama tahun sebelumnya.
"Prestasi lebih baik ini didorong jualan hartanah yang meningkat dengan ketara berikutan inisiatif pemasaran dalam talian ketika sektor hartanah berdepan kesan daripada sekatan pergerakan," katanya hari ini.
Bagi suku kedua ini, Sime Darby Property mengisytiharkan dividen sebanyak 1 sen.
Secara keseluruhan, untung bersih secara kumulatif bagi separuh pertama 2021 berjumlah RM80.51 juta berbanding kerugian bersih RM90.28 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM1.09 bilion berbanding RM764.96 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurut syarikat hartanah ini, prestasi bagi suku dikaji itu disumbangkan sebahagian besar menerusi segmen pembangunan hartanah yang mencatatkan jualan kukuh bagi perindustrian dan kediaman.
Katanya, jualan bagai kediaman meningkat dengan ketara berbanding tahun sebelumnya didorong inisiatif pemasaran dalam talian secara insentif dan juga Kempen Pemilikan Rumah.
"Kerugian sebelum cukai dan faedah (LBIT) yang dialami kumpulan tahun lalu disebabkan penularan pandemik COVID-19 sehingga perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan pada Mac 2020.
"Apabila sekatan pergerakan ini kembali dilaksanakan 1 Jun lalu, ia terus memberi kesan kepada kumpulan terutama dari segi operasi di tapak binaan dan galeri jualan," tambahnya.
Sime Darby Property berkata, walaupun sektor hartanah dibenarkan kembali beroperasi pada akhir Julai lalu, namun, ia memakan masa tertentu sebelum kumpulan meraih semula momentum dan kembali beroperasi secara normal dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Bagaimanapun, jelasnya, kumpulan berada dalam landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM2.4 bilion bagi tahun kewangan 2021.
"Ini didorong oleh jualan setakat ini berjumlah RM1.3 bilion dan pelancaran baharu dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.1 bilion pada separuh kedua tahun ini," katanya. - DagangNews.com