KUALA LUMPUR 21 Jan - Sunway Iskandar Sdn Bhd (SISB) yang juga anak syarikat Sunway Property di selatan Malaysia, menjalin kerjasama dengan badan pensijilan bangunan hijau terkemuka tempatan, GreenRE, menjadikannya pemaju pertama di Johor yang memenuhi piawaian GreenRE secara menyeluruh.
Ia membuktikan komitmen Sunway Property untuk membentuk ekosistem bandar yang lebih hijau dan melahirkan komuniti lestari.
Usaha utama dalam inisiatif hijau SISB ialah pembangunan Sunway City Iskandar Puteri (SCIP), perbandaran terbesar Sunway setakat ini yang meliputi lebih 809.37 hektar yang kini sudah lebih 30% siap.
Projek SCIP telah memperoleh beberapa sijil GreenRE yang berjaya mengukuhkan kedudukan SISB sebagai peneraju dalam pembangunan bandar yang mampan.
Pencapaian itu bertepatan dengan ulang tahun ke-10 SCIP pada 2024, meraikan satu dekad kemajuan dan perubahan.
Kerjasama dengan GreenRE menandakan detik penting dalam perjalanan SCIP ke arah menjadi bandar pintar dan mampan generasi baharu Sunway.
Dengan asas yang kukuh, kerjasama tersebut akan meningkatkan lagi kualiti hidup penduduk dan pengunjung sambil memupuk amalan kehidupan lestari untuk memacu pengembangan pembangunan bersijil hijau di seluruh perbandaran.
MoU berkenaan menggariskan komitmen bersama untuk menyepadukan kemampanan bagi pembangunan SCIP.
Dengan mengguna pakai prinsip reka bentuk hijau, kaedah pembinaan mampan dan operasi bangunan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, SISB jelas menetapkan piawaian pembangunan hijau di Johor.
Berdasarkan alat penilaian GreenRE yang sentiasa dikemas kini, pihak pemaju akan memastikan pematuhan piawaian kemampanan yang terkini untuk memacu inovasi dan daya tahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway City Iskandar Puteri, Gerard Soosay berkata, sebagai pemaju, pihaknya memahami tanggungjawab untuk membina pembangunan yang mampan.
"Pembangunan kami sudah pun mendapat pensijilan GreenRE dan kerjasama yang dijalin akan mengukuhkan lagi komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk membina komuniti yang berkembang maju.
"Usaha kami yang seterusnya adalah untuk mendapatkan perakuan GreenRE untuk seluruh perbandaran yang akan meletakkan SCIP sebagai perbandaran terbesar di Johor untuk mencapai kejayaan ini," katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Eksekutif, GreenRE, Ir Ashwin Thurairajah berkata, kerjasama dengan Sunway City Iskandar Puteri mewakili satu langkah penting dalam memajukan pembangunan mampan di Malaysia.
"Dengan menyediakan pensijilan standard tertinggi, kami memperkasakan pihak pemaju untuk membina bangunan hijau yang mengurangkan kesan alam sekitar sambil mewujudkan ruang untuk kehidupan yang terbaik.
"Kami akan terus menyokong SCIP dalam usaha mereka untuk membangunkan perbandaran yang lebih hijau dan lebih pintar," jelasnya.
Selaras dengan perjanjian itu, SCIP juga akan menyediakan data prestasi bangunan kepada GreenRE untuk menyokong inisiatif berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan.
Kerjasama tersebut akan memupuk inovasi dalam amalan bangunan mampan dan memajukan lagi agenda hijau Malaysia.
GreenRE juga akan menyediakan bengkel khusus dan sokongan teknikal untuk membantu jabatan projek Sunway Iskandar Sdn Bhd mereka bentuk, membina dan mengendalikan pembangunan mampan. - DagangNews.com