Inisiatif pembagunan PKS di bawah kelolaan SME Bank, TEKUN nasional raih anugerah ADFIAP | DagangNews Skip to main content

Inisiatif pembagunan PKS di bawah kelolaan SME Bank, TEKUN nasional raih anugerah ADFIAP

 

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Inisiatif pembangunan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di bawah kelolaan SME Bank dan TEKUN Nasional berjaya mendapatkan pengiktirafan antarabangsa daripada Association of Development Financing Institutions in Asia and the Pacific (ADFIAP), hari ini.

 

Selain itu, SME Bank turut meraih dua Anugerah Merit bagi Projek Pembangunan Terbaik untuk Program ISHRAF dan Projek Tanggungjawab Korporat Sosial terbaik bagi Program Penjana Komuniti@SME Bank manakala TEKUN Nasional menerima dua Anugerah Projek Pembangunan Cemerlang bagi projek TEKUN Mart dan TEKUN Mobilepreneur.

 

“Inisiatif yang dijalankan oleh SME Bank yang melibatkan 240 orang usahawan mikro kategori B40 dan asnaf serta pelaksanaan program oleh TEKUN Nasional yang memanfaatkan 3,202 orang usahawan mikro dengan nilai pembiayaan RM27.2 juta ini ialah manifestasi konsep Keluarga Malaysia yang kerajaan perjuangkan masa kini. 

 

"Sesiapa pun tidak boleh ketinggalan dan kita mahu melihat semua golongan usahawan mendapat manfaat daripada pelbagai program dan bantuan yang diberikan semasa kita dalam proses pemulihan ini,” kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar.

 

Sementara itu, Presiden Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, Program Penjana Komuniti@SME Bank dan ISHRAF telah membantu peserta dalam mengukuhkan daya tahan serta mengurangkan tekanan operasi perniagaan akibat daripada penutupan aktiviti ekonomi tahun lalu. 

 

"Penekanan kepada penggunaan kaedah digital untuk mengembangkan perniagaan di kalangan peserta telah memberi nafas baharu kepada mereka untuk meneruskan serta mengembangkan perniagaan yang dijalankan,” katanya. 

 

DAlam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Adam Abd. Ghani berkata, pelaksanaan skim pembiayaan TEKUN Mobilepreneur merupakan usaha bagi membuka peluang menjana pendapatan kepada golongan yang hilang pekerjaan akibat COVID-19 untuk menjadi pekerja gig, penghantar makanan, barangan dan keperluan harian.

 

"Program TEKUN Mart, TEKUN Nasional telah menyediakan platform kepada usahawan mikro untuk memasarkan produk mereka di TEKUN Mart,” katanya.

 

Mesyuarat Tahunan ADFIAP ke-44 pada kali ini bertemakan “Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dan Peluang Pasca-Pandemik” yang memberi fokus terhadap usaha yang dilakukan dalam membantu PKS untuk terus bertahan selepas COVID-19.

 

ADFIAP telah menjadi pentas untuk IKP di rantau Asia Pasifik untuk saling bertukar dan berkongsi idea.-DagangNews.com