Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2023 antara lain telah mengumumkan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR). Susulan itu, Menteri Ekonomi telah melancarkan program ini secara rasmi pada 26 Februari 2023. Matlamat utama IPR adalah untuk membantu golongan sasar iaitu miskin tegar, miskin dan B40 menjana pendapatan tambahan secara mampan.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor merupakan antara institusi yang terawal mengambil bahagian dalam program rintis IPR melalui pelaksanaan program Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) di kampus UiTM.
Di bawah IPR – INSAN, peserta daripada kalangan miskin tegar, miskin dan B40 diberi peluang berniaga makanan dan minuman melalui mesin layan diri IPR – INSAN yang ditempatkan di lokasi strategik yang menjadi tumpuan ramai.
Di bawah program ini, mesin layan diri canggih disediakan oleh Kerajaan kepada peserta untuk menjual makanan bermasak tanpa perlu berdepan dengan kesukaran mendapatkan permit dan tapak perniagaan. Kerajaan melalui Kementerian Ekonomi menanggung kos sewaan mesin layan diri kepada syarikat pembekal.
Sehingga Ogos 2024, seramai 43 peserta rintis program IPR – INSAN di UiTM seluruh negara telah mendapat manfaat dan meraih purata jualan harian antara RM90 hingga RM400.
Terdapat 7 peserta berjaya mencapai jualan bulanan antara RM8 ribu hingga RM16,000 secara konsisten. Malah, seorang peserta yang telah berjaya meraih jualan bulanan berjumlah RM21,900 pada bulan Januari 2024 melibatkan mesin layan diri IPR – INSAN yang beroperasi di UiTM Machang, Kelantan.
Ini membolehkan mereka dan keluarga menikmati hidup dengan lebih baik dan berkualiti. Peningkatan pendapatan yang lumayan ini merupakan satu penanda aras baharu bagi program pembasmian kemiskinan.
Pelaksanaan IPR – INSAN di kampus UiTM juga turut memberi limpahan manfaat kepada mahasiswa UiTM. Makanan seperti nasi lemak, mee, sandwich dan pastri yang dijual melalui mesin layan diri IPR-INSAN pada kadar harga yang rendah antara RM3 hingga RM5 sepaket mendapat sambutan yang sangat baik daripada mahasiswa. Ini dapat meringankan beban perbelanjaan mahasiswa terutamanya kumpulan keluarga B40.
Selain itu, inovasi dan adaptasi teknologi digital juga turut diterapkan dalam pelaksanaan program IPR–INSAN.
Mesin layan diri ini dilengkapi dengan teknologi operasi skrin sesentuh serta menawarkan kaedah transaksi pembayaran secara tunai, debit dan kredit serta aplikasi e-wallet yang memudahkan pembeli.
Aplikasi telefon pintar turut disediakan kepada peserta untuk memantau jualan secara real-time dan ini membantu peserta membuat perancangan untuk menjana jualan yang tinggi.
Adaptasi teknologi digital ini sangat memudahkan transaksi pembelian dimana pelajar rata-rata selesa dengan kaedah pembayaran mesin layan diri ini secara ‘cashless’.
Setiap pembayaran direkodkan dan sekiranya mesin layan diri menghadapi masalah pemulangan semula wang akan diproses oleh mesin layan diri tersebut.
Perkhidmatan mesin layan diri ini juga telah menjadi sebahagian keperluan masa kini terutamanya dalam kalangan pelajar untuk mengatur jadual harian mereka dengan lebih efisyen. Mereka tidak perlu beratur panjang di kedai-kedai makan sebaliknya mereka hanya perlu ‘grab & go’ sahaja dengan mesin layan diri ini.
Selain itu, proses pemantauan prestasi peserta secara harian oleh Kementerian Ekonomi pula dilaksanakan melalui kaedah pengkomputeran awan secara real-time. Kaedah ini membolehkan tindakan intervensi dilaksana dari semasa ke semasa khususnya kepada peserta yang tidak mencapai jualan yang baik.
Pelaksanaan program IPR - INSAN juga turut menitikberatkan penjagaan keselamatan dan kualiti makanan.
Di bawah program ini, peserta wajib mengambil suntikan tifoid serta mengikuti kursus pengendalian makanan di samping mematuhi garis panduan keselamatan makanan yang dibangunkan khusus oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan kualiti produk makanan yang dipasarkan di dalam mesin layan diri sentiasa terjaga sekaligus mengelakkan risiko keracunan makanan.
UiTM menjalankan pemantauan secara bersepadu dan berkala oleh Unit Kesihatan (Bahagian Hal Ehwal Pelajar) bersama pegawai lapangan. Disamping itu juga UiTM mengadakan pertemuan bersama peserta untuk memastikan perkhidmatan yang terbaik dapat diberikan.
Maklum balas dari pelanggan terutamanya pelajar akan dimajukan kepada peserta untuk tindakan penambahbaikan berterusan seperti cadangan menu dan kecekapan restock makanan. Kualiti makanan yang berkhasiat dan stok yang mencukupi sangat penting kerana mesin ini beroperasi 24 jam sehari.
Selain itu, Kementerian Ekonomi turut memberi amanah kepada UiTM untuk menyediakan khidmat kepakaran dalam bentuk Kursus Literasi Kewangan kepada peserta IPR di seluruh negara bagi memastikan kelestarian pelaksanaan program ini dalam jangka masa panjang.
Di bawah inisiatif ini, UiTM telah membangunkan modul-modul berkaitan secara komprehensif bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan peserta mengenai kepentingan pengurusan kewangan demi kemampanan perniagaan.
Aspek pembangunan modal insan yang diterapkan dalam program IPR sangat membantu golongan sasar meningkatkan keupayaan mereka untuk menguruskan perniagaan dengan lebih cekap.
Memandangkan keberhasilan program IPR – INSAN yang memberangsangkan, Kementerian Ekonomi akan meluaskan pelaksanaan IPR ini di seluruh negara bagi memberi peluang kepada lebih ramai golongan sasar menjana pendapatan secara mampan.
Kami di UiTM sememangnya bersedia untuk membantu menempatkan lebih banyak lagi mesin layan diri IPR-INSAN di semua kampus UiTM demi menjayakan agenda nasional ini sebagaimana dihasratkan oleh pucuk pimpinan negara demi kesejahteraan rakyat. - DagangNews.com