Inisiatif, strategi RMKe-12 perlu bersifat cakna, prihatin isu agihan kekayaan | DagangNews Skip to main content

Inisiatif, strategi RMKe-12 perlu bersifat cakna, prihatin isu agihan kekayaan

 

KUALA LUMPUR 30 Sept – Inisiatif dan strategi yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) perlu bersifat cakna dan prihatin kepada isu agihan agar kekayaan, pertumbuhan dan peluang dapat disebarkan merentasi semua golongan rakyat Malaysia, khususnya masyarakat pedalaman, bumiputera dan Melayu, Orang Asli dan pribumi Sabah dan Sarawak.

 

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kuncinya adalah pembangunan inklusif atau keterangkuman supaya tidak ada yang akan ketinggalan - `No one will be left behind’.

 

Jika sebelum ini kata beliau, rakyat Malaysia dikategorikan dalam kumpulan pendapatan B40, M40 dan T20 - realitinya kini sudah berlaku rombakan ketara apabila ramai dalam kalangan M40 yang tergelincir ke dalam kumpulan B40 kerana kehilangan mata pencarian atau terjejas sumber pendapatan sepanjang pandemik.

 

‘’Ini menunjukkan rapuhnya pembangunan ekonomi yang lalu. Namun dalam peralihan untuk menjadi Negara Berpendapatan Tinggi, realiti kehidupan rakyat dan komuniti perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik lebih setahun lalu perlu diberi penelitian dan pertimbangan yang sewajarnya di samping kepentingan masyarakat Bumiputera khususnya di Sabah dan Sarawak untuk mendapat faedah daripada pertumbuhan ekonomi.

 

‘’Perkembangan masa depan Malaysia, mesti mengandungi program dan projek penting atau utama yang boleh melonjakkan atau spearhead pertumbuhan pengeluaran negara, peluang pekerjaan dan pendapatan dalam jangka pendek dan sederhana,’’  katanya dalam ucapan membahas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau menyokong pelan kerajaan berhubung pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) ke Johor Bahru, malahan juga ke utara untuk disambung dengan HSR dari Bangkok ke sempadan Malaysia-Thailand dengan pembiayaan swasta yang melibatkan konsortium kewangan dalam negara.


 

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa membahaskan RMKe-12 di Dewan Rakyat, Parlimen 30 September 2021.

 

 

Katanya, impak projek seperti ini akan memberi kesan berganda dalam membuka peluang pekerjaan dan perniagaan baharu serta pembangunan wilayah dan pengwujudan bandar-bandar baharu sepanjang laluan HSR.

 

‘’Ini sudah tentunya akan menghasilkan nilai berganda berbilion ringgit dan mendatangkan manfaat besar kepada rakyat termasuk masyarakat Bumiputera,’’ ujar beliau.

 

Menurutnya, RMKe-12 juga perlu memastikan segala perancangan ekonomi dan kewangan adalah tegas dan berani untuk menuju Negara Berpendapatan Tinggi menjelang 2025, dengan Pendapatan Negara Kasar per kapita meningkat dari RM42,755 kepada RM54,843.

 

‘’Dengan adanya dasar dan instrumen yang tepat dan pelaksanaan Game Changer yang agresif dalam RMKe-12, sasaran ini tidak mustahil dicapai,’’ ujar beliau. – DagangNews.com