Inisiatif tenaga solar di kilang Tanjung Malim berpotensi kurangkan bil elektrik Proton sebanyak RM4.39 juta setahun | DagangNews Skip to main content

Inisiatif tenaga solar di kilang Tanjung Malim berpotensi kurangkan bil elektrik Proton sebanyak RM4.39 juta setahun

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mac - Proton melancarkan inisiatif tenaga solar di kilang Tanjung Malim, Perak berpotensi untuk mengurangkan bil elektrik sebanyak RM4.39 juta setahun dengan penjimatan RM1.46 juta melalui 3MWp (puncak Megawatt) yang dijana oleh panel yang dipasang di atas bumbung kilang.

 

Projek itu juga akan membantu pengeluar kereta nasional itu mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 11,536 tan setahun selain menjimatkan kos utiliti.

 

Gabungan tenaga yang dijana daripada kemudahan panel solar dwi-muka di tempat letak kereta terbesar di Malaysia berserta panel solar yang dipasang di atas bumbung kilangnya ialah 12MWp yang cukup untuk memenuhi sehingga 25% daripada penggunaan kuasa kilang itu.

 

Tempat letak kereta berpusat PROTON yang meliputi kawasan seluas 24.3 ekar itu turut menyediakan ruang letak kenderaan untuk 2,880 kereta dan akan digunakan sebagai tempat transit untuk kereta yang dikeluarkan di Tanjung Malim sebelum diedarkan kepada pengedar dan cawangan di seluruh negara.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, kemudahan panel solar Proton adalah sebahagian daripada inisiatif hijau syarikat yang menyahut cabaran untuk membantu Malaysia memenuhi sasaran kerajaan untuk menjadi negara neutral karbon menjelang tahun 2050. 

 

"Selain daripada penjimatan utiliti, penggunaan sumber tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui akan membolehkan kami mengurangkan pelepasan karbon dioksida di atmosfera yang dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat dan ekosistem di Tanjung Malim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Dalam tempoh lima tahun dari 2015 hingga 2020, inisiatif ini telah mencapai penjimatan bil tenaga sebanyak RM20 juta atau bersamaan penjimatan 55,000 MWj dan lebih 40,000 tan pengurangan pelepasan karbon dioksida ke udara.

 

Syarikat melancarkan Polisi Hijau pertamanya pada 2015 yang terdiri daripada lima fasa dengan fasa pertama bermula dengan perlaksanaan Sistem Pengurusan Tenaga di kilang pengeluaran dan ibu pejabatnya untuk mengumpul dan menilai data penggunaan.

 

Fasa kedua terdiri daripada langkah Kecekapan Tenaga dengan beberapa projek penjimatan telah dilaksanakan termasuk pemasanagan lampu LED penggantian penyejuk dengan penyejuk magnet, dan menggunakan unit pemampat induk untuk menyegerakan bekalan udara termampat untuk memadankan permintaan semasa pada setiap bahagian pengeluaran.

 

Dalam pada itu, fasa ketiga memberi tumpuan kepada Pengurusan Sisa dan Air manakala fasa keempat ialah penggunaan tenaga boleh diperbaharui melalui loji tenaga solar dan fasa kelima bertujuan mendigitalkan data tenaga Proton dalam “cloud server” dengan menggunakan teknologi AI. - DagangNews.com