Inix dan Duria bina kemudahan keluarkan produk berasaskan durian | DagangNews Skip to main content

Inix dan Duria bina kemudahan keluarkan produk berasaskan durian

Ketua Pegawai Eksekutif Duria, Wong Woei Ming (tengah) dan Pengarah Eksekutif Inix, Siva Kumar Kalugasalam (dua dari kiri) menunjukkan dokumen perjanjian persetujuan pelaburan Inix Technologies Holdings Berhad dengan Duria Manufacturing Sdn Bhd di Kuala Lumpur semalam.

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Inix Technologies Holdings Bhd (Inix) bersama Duria Manufacturing Sdn Bhd (Duria) akan membina tiga kemudahan pengeluaran baharu produk berasaskan durian dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Pengarah Eksekutif Inix, Siva Kumar Kalugasalam, berkata pembinaan kemudahan baharu itu bertujuan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan mempelbagaikan produk berasaskan duriannya untuk pasaran domestik dan eksport.

Beliau berkata, pelaburan baharu itu disasarkan memberikan pulangan semula sekurang-kurangnya 20% dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Jumlah pelaburan akan ditentukan berdasarkan keperluan semasa. Pelaburan utama kami adalah membina kemudahan utama untuk pengeluaran produk Duria. Ketika ini, kami merancang satu kemudahan di Perak dan diikuti dua kemudahan lagi dalam masa terdekat.

"Kemudahan baharu itu berupaya meningkatkan pengeluaran sekali gus mampu mencapai pasaran yang lebih meluas. Ia dijangka siap dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang," katanya selepas majlis memorandum persefahaman antara Inix dan Duria di sini semalam.

Siva berkata pelaburan Inix akan dilaksanakan secara berperingkat dan ia percaya pengukuhan jualan serta jenama Duria akan memberi pulangan yang lebih baik kepada pemegang saham.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Duria, Wong Woei Ming berkata, kerjasama strategik yang itu membantu meningkatkan sasaran jualannya pada 2021 sebanyak RM75 juta berbanding RM55 juta pada tahun ini.

Beliau berkata, produk Duria menunjukkan peningkatan jualan dan permintaan daripada pasaran luar negara terutama di China.

Selain China, produk Duria katanya turut dipasarkan di Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia, New Zealand, Hong Kong dan Singapura.

"Dalam tempoh setahun lalu, produk Duria mendapat permintaan tinggi untuk eksport sebanyak 85% berbanding 15% untuk pasaran tempatan.

"Namun, disebabkan penularan pandemik COVID-19 serta penutupan sempadan, pada ketika ini peratusan eksport dan pasaran tempatan masing-masing sekitar 60% dan 40%.

"Kami percaya kerjasama dengan Inix akan membantu meningkat semula eksport selain merancang untuk menembusi pasaran baharu di Taiwan dan Jepun," katanya sambil menambah syarikat itu disasar akan disenaraikan di pasaran saham berdasarkan peningkatan jualannya tahun ke tahun. - DagangNews.com