InNature rancang teroka perniagaan kecantikan, runcit di Taiwan | DagangNews Skip to main content

InNature rancang teroka perniagaan kecantikan, runcit di Taiwan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Julai - InNature Berhad yang merupakan peruncit jenama Body Shop merancang untuk meneroka perniagaan kecantikan dan runcit di Taiwan. 

 

InNature dalam satu kenyataan berkata, mereka telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Top Wisdom Investment Co Ltd yang berpangkalan di Taiwan bagi mengambil alih kepentingan ekuiti Mayfair House Co Ltd.

 

Pengarah Urusan InNature, Datin Mina Cheah Foong berkata, Mayfair berada dalam pasaran kecantikan Taiwan selama lebih tiga dekad, dengan rangkaian premis jualan runcit yang besar serta mempunyai kehadiran yang kukuh dalam saluran runcit dalam talian.

 

"Kami percaya jalinan kerjasama ini adalah demi kepentingan terbaik kumpulan untuk meneroka pengembangan ke pasaran baharu.

 

"Kami teruja dengan potensi sektor kecantikan dan penjagaan diri Taiwan memandangkan pendapatan boleh guna pasaran yang tinggi dan kesedaran pengguna yang lebih maju tentang kecantikan dan penjagaan diri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Memetik Euromonitor, beliau berkata unjuran saiz pasaran kecantikan dan penjagaan diri Taiwan pada 2023 ialah AS$4.4 bilion (RM20.1 bilion), yang dianggarkan 30% lebih besar daripada pasaran Malaysia.

 

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23), untung bersih InNature menurun kepada RM3 juta daripada RM4.53 juta setahun yang lalu, kerana sentimen pengguna terjejas oleh isu kos sara hidup dan kadar faedah yang lebih tinggi.

 

Hasil untuk 1QFY23 susut kepada RM32.43 juta daripada RM33.74 juta.

 

Cheah Foong menjangkakan prospek yang mencabar untuk 2QFY23 dengan tekanan makro berterusan yang memberi kesan kepada sentimen pengguna dan cabaran rantaian bekalan.

 

“Namun begitu, kami percaya kumpulan kami akan menguntungkan dan trajektori jangka panjang kami kekal utuh,” katanya.- DagangNews.com