Inovasi ‘EWAR’ TM R&D diiktiraf Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia | DagangNews Skip to main content

Inovasi ‘EWAR’ TM R&D diiktiraf Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Cabang inovasi Telekom Malaysia Berhad (TM), Telekom Research & Development Sdn. Bhd. (TM R&D), baru-baru ini menerima pengiktirafan di Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2020 (MTEA 2020) di bawah kategori Pengurusan Maklumat - Perisian Komputer.

Anugerah tersebut telah diberikan kepada TM R&D sebagai pengiktirafan bagi prestasi dan pencapaian syarikat dalam membangunkan penyelesaian inovatifnya, ‘Early Warning, Alert and Response’ atau EWAR. 

Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif, TM R&D, Dr. Sharlene Thiagarajah berkata, pihaknya akan terus memperkenalkan penyelesaian-penyelesaian digital pintar yang dapat memenuhi keperluan perniagaan bagi meningkatkan produktiviti mereka.

 

Sharlene Thiagarajah
Sharlene Thiagarajah

 

“Ini merupakan saat yang amat membanggakan bagi kami di TM R&D dan Kumpulan TM. 

“Kami amat teruja kerana penyelesaian pintar yang dibangunkan oleh bakat-bakat dalaman kami mendapat pengiktirafan dan kemenangan ini mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai peneraju dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan inovasi,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini. 

Ini merupakan anugerah ketiga yang dimenangi oleh TM R&D pada acara tersebut dalam dua tahun penganjurannya sejak tahun 2019. 

Baca : TM R&D bawa inovasi pengesanan suhu EWAR ke pasaran Maldives

Dilancarkan pada April 2020 semasa berlakunya pandemik COVID-19, EWAR adalah penyelesaian pengesanan termal tanpa sentuhan yang dapat mengesan suhu tinggi, salah satu daripada gejala yang perlu dipantau dalam kes-kes penyakit penyebaran virus.

EWAR membolehkan pemantauan masa nyata dan pengesanan awal suhu yang tinggi dalam kalangan antara 10 ke 15 orang individu sesaat menerusi interaksi yang minimum, dan ini akan memudahkan proses pengasingan dan rawatan bagi kes-kes yang telah disahkan. 

EWAR dilengkapi dengan perisian dan aplikasi mudah alih berasaskan awan yang menjadikan penyelesaian inovatif ini unik. 

Setakat ini, EWAR telah dipasang di lebih daripada 150 lokasi merangkumi pelbagai industri dan telah menembusi pasaran serantau bagi membantu memastikan keselamatan perniagaan termasuklah di luar Malaysia. 

Sementara itu, anugerah tersebut  yang dianjurkan oleh Singapore Business Review, mengangkat perniagaan-perniagaan yang mengambil langkah berani dan menerajui pelaksanaan projek inovatif, perkhidmatan digital, pembinaan semula skema dan usaha teknologi. 

Para pemenang dinilai berdasarkan keunikan, inovasi, kejayaan dan pengaruh serta kekukuhan organisasi tersebut. - DagangNews.com