INSKEN persiap 24 atlet negara majukan perniagaan selepas bersara dari dunia sukan | DagangNews Skip to main content

INSKEN persiap 24 atlet negara majukan perniagaan selepas bersara dari dunia sukan

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Nov - Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) menawarkan bantuan berbentuk latihan, bimbingan dan dana perniagaan untuk wira serta wirawati sukan negara bagi menjadikan bidang keusahawanan sebagai sumber pendapatan selepas bersara. 

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, Program Bimbingan Usahawan Atlet telah pun membantu dua kategori atlet merangkumi mereka yang mempunyai idea perniagaan atau perniagaan sedia ada manakala satu lagi kategori bagi atlet yang tiada idea perniagaan. 

 

Beliau bekata, kategori pertama adalah kumpulan peserta yang sudah mempunyai perniagaan dan memerlukan bimbingan lonjakan perniagaan ke skala seterusnya manakala  kategori kedua pula adalah kumpulan peserta yang ingin menceburi atau memulakan bidang perniagaan berkonsepkan prafrancais. 

 

"Sebanyak RM71,808 atau 50.4 peratus jumlah peningkatan hasil jualan tercipta daripada 15 atlet negara yang berada dalam kategori pertama. 

 

"Ini membuktikan bahawa sasaran program ini iaitu peningkatan minimum 20 peratus hasil jualan telah tercapai dengan cemerlang. 

 

"Baki sembilan lagi atlet akan memulakan perniagaan berkonsepkan prafrancais," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Kesemua 24 atlet termasuk 11 atlet para telah dibimbing 'jurulatih perniagaan' yang berpengalaman luas dalam bidang perniagaan dan keusahawanan bagi merangka strategi perniagaan dengan lebih berkesan, berdaya maju dan berkembang ke tahap lebih tinggi. 

 

INSKEN turut menyalurkan dana berjumlah RM337,155 kepada 24 atlet negara itu sebagai pemangkin untuk mereka menambahbaik atau memulakan perniagaan. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd. Firdaus Azharuddin berkata, program berkenaan merupakan kerjasama rentas kementerian antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan Kementerian Belia dan Sukan. 

 

Program tersebut pula dikendalikan INSKEN, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan Majlis Sukan Negara (MSN) melalui Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE). 

 

"INSKEN bersedia membantu lebih banyak golongan masyarakat tidak mengira latar belakang dan mengalu-alukan lebih banyak kolaborasi bersama kementerian mahu pun agensi lain," jelasnya.

 

Antara atlet negara yang menyertai program tersebut termasuk ratu terjun negara, Leong Mun Yee; Alia Sazana Azahari (atlet menembak); Mohammad Aliff Mohamad Alwi (atlet para olahraga) dan Ariffahmi Zaquan Ariffin (atlet para tenis).-DagangNews.com