INSKEN, TEKUN latih 200 usahawan Sabah urus data pelanggan | DagangNews Skip to main content

INSKEN, TEKUN latih 200 usahawan Sabah urus data pelanggan

Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) bersama TEKUN Nasional menganjurkan program INSKEN-TEKUN Business Outreach 2020 yang menekankan kepentingan pengurusan data pelanggan.

Progam tersebut adalah siri jelajah ketujuh bagi Program INSKEN Business Outreach (IBO) 2020 yang bertempat di Kota Kinabalu, Sabah.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, INSKEN-TEKUN Business Outreach 2020 akan dijalankan dalam bentuk seminar selama sehari bagi mendedahkan asas Industri Revolusi 4.0 kepada usahawan.

"Usahawan akan didedahkan kepada kepentingan mengurus data pelanggan.

"Pendedahan ini sekali gus mempersiapkan mereka kepada persiapan jualan pasca Perintah Kawalan Pergeraka  (PKP) untuk merancakkan semula perniagaan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

INSKEN-TEKUN Business Outreach 2020 dijalankan dengan tema 'Strategi Lonjakan Jualan Melalui Urus Data Pelanggan Menggunakan Platform Media Sosial'.

Siri jelajah ketujuh itu juga merupakan seminar secara fizikal anjuran INSKEN selepas PKP dan kali kedua dianjurkan di negeri Sabah.

Seramai 200 usahawan TEKUN akan dilatih bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang melalui enam modul.

Kesemua modul yang telah dikenal pasti dapat membantu usahawan menguruskan data pelanggan adalah seperti berikut;

  • MyNEPT dan Ujian Psikometrik
  • Penetapan Minda Usahawan
  • Business Hack #1 : Jualan dan Data
  • Business Hack #2 : Strategi Urus Data
  • Business Hack #3 : Buatlah Duit Dengan Data
  • Think Big Session 

 

Sementara itu, INSKEN turut menyediakan khidmat rundingan perniagaan dari BisKaunselor INSKEN untuk usahawan mendapatkan khidmat nasihat melalui BizClinic secara one-on-one.

Secara keseluruhannya, INSKEN telah melatih sebanyak 2,445 usahawan melalui Siri Jelajah IBO yang telah diadakan sejak awal 2020 di enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Sarawak, Johor, Kedah dan Sabah. - DagangNews.com