KUALA LUMPUR 23 Mac - Syarikat teknologi hartanah, Instahome mengumumkan pelantikan dua pengurusan kanan baharu iaitu Leon Kong sebagai Pengurus Negara Malaysia dan Kambiz Khanlari sebagai Ketua Pegawai Teknologi, bagi langkah pengukuhan dan pengembangan syarikat.
Leon yang mempunyai rekod pencapaian terbaik selama hampir dua dekad dalam industri, pernah memainkan peranan utama dalam kepemimpinan beberapa syarikat hartanah dalam talian dan perniagaan PropTech (teknologi hartanah) yang berkembang pesat.
Pada 2003, Leon merupakan pengasas bersama iProperty Group, salah sebuah syarikat pemula paling berjaya di Asia Tenggara yang kini beroperasi di beberapa negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand.
Sebagai Pengurus Negara Instahome Malaysia, Leon yang mempunyai pengalaman luas dalam hubungan pelanggan, akan bertanggungjawab dalam mengukuhkan operasi harian syarikat serta hubungan pelanggan di semua peringkat dan seterusnya memacu pembangunan perniagaan.
Sementara itu, Kambiz membawa rekod pengalaman dan kemahiran yang mengkagumkan selama 15 tahun dalam pelbagai bidang teknologi dan industri seperti InsurTech (teknologi insurans), automasi pejabat dan perkakasan.
Dalam peranan baharunya, Kambiz akan bertanggungjawab untuk melengkapkan himpunan penyelesaian tangkas merentas berbilang saluran dan titik sentuh, selain daripada menerajui pelan hala tuju dan pembangunan produk sambil mencipta pengalaman digital terfokus data untuk pelanggan serta mengoptimumkan penyelesaian sedia sistem awan untuk meneruskan transformasi syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Instahome, Eric Tan Leong Yit berkata, pelantikan tersebut adalah sebahagian daripada usaha Instahome ke arah membina lagi momentum pertumbuhannya.
“Memandangkan terdapatnya perubahan dalam tingkah laku penyewa, kami dapat melihat peluang pasaran yang sangat besar. Dalam misi menyediakan pengalaman penyewaan rumah yang lancar untuk penyewa, ejen dan tuan tanah, kami perlu menyelaraskan dan mengembangkan keupayaan untuk lebih fokus ke hadapan dan mencipta nilai terbaik untuk semua pihak berkepentingan.
"Kami juga sedang mengusahakan penyelesaian digital yang dapat membantu merealisasikan perkara tersebut. Inilah sebabnya saya sangat teruja untuk mengalu-alukan kemasukan Leon dan Kambiz ke dalam pasukan.
"Pengalaman luas dan kepakaran mereka akan mengukuhkan keupayaan kami untuk memenuhi keperluan pelanggan yang kompleks. Mereka akan membantu mengukuhkan komitmen syarikat untuk menjadikan proses penyewaan rumah di negara ini semudah membeli baju-T dalam talian,” katanya.
Eric berkata, dengan penyertaan Leon dan Kambiz, Instahome akan memperkenalkan pelbagai penyelesaian baharu yang selaras dengan komitmen Instahome untuk melancarkan proses penyewaan rumah untuk digunakan oleh tuan tanah, ejen dan penyewa.
Pada Februari 2022, Instahome telah diiktiraf sebagai sebuah daripada 10 syarikat yang paling pesat berkembang di Malaysia berdasarkan pertumbuhan trafik tahun ke tahun (YoY) dari 2021 oleh SimilarWeb. - DagangNews.com