KUALA LUMPUR 10 Julai - Institusi perbankan Islam akan terus membantu pelanggan individu atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan khidmat bantuan kepada permasalahan kewangan yang dialami.
Presiden Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Mohd Muazzam Mohamed berkata, para pelanggan juga boleh menghubungi Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan informasi tentang bantuan yang disediakan.
Selain itu, PKS yang mengalami kesulitan kewangan juga boleh memilih mekanisme penyelamatan korporat untuk memulihkan perniagaan mereka di bawah Akta Syarikat 2016 seperti mekanisme di luar mahkamah - Perjanjian Sukarela Korporat (CVA) dan mekanisme mahkamah - Pengurusan Mahkamah (JM), Skim Pengaturan (SOA).
"Menyambut saranan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, institusi kewangan harus tetap responsif terhadap kesulitan yang dihadapi peminjam individu dan PKS," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, Mohd Muazzam menyatakan pendirian yang konsisten oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menentukan dasar monetari dan kadar dasar semalaman (OPR) menerusi program "Selamat Pagi Malaysia" di RTM.
Beliau berkata, keputusan BNM mengekalkan OPR pada 3% dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap keadaan ekonomi semasa dan selaras dengan objektif bank untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta seimbang dan mengekalkan kadar inflasi yang rendah dan stabil.
Katanya, setiap keputusan yang diambil oleh BNM adalah berorientasikan ke hadapan dan berdasarkan pelbagai data dan petunjuk, termasuk pergerakan Indeks Harga Pengguna (IHP), pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), aktiviti ekonomi, dan kadar pengangguran, antara lain. - DagangNews.com