Inta Bina mampu catat pendapatan lebih baik pada separuh kedua 2023 didorong kos pembinaan lebih baik, kata TA Securities | DagangNews Skip to main content

Inta Bina mampu catat pendapatan lebih baik pada separuh kedua 2023 didorong kos pembinaan lebih baik, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Ogos - TA Securities mengunjurkan Inta Bina Group Berhad mencatatkan prestasi pendapatan yang lebih baik pada separuh kedua tahun ini disokong oleh kos pembinaan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata,  ia juga disokong oleh kadar tempahan tertunggak yang positif. 

 

Katanya, sehingga akhir Jun 2023, kadar tempahan binaan terkumpul kumpulan itu berjumlah RM1 bilion diterjemahkan kepada sekitar 2.1 kali hasil FY22.

 

"Memandangkan keputusan yang lebih kukuh daripada jangkaan, kami melaraskan andaian pengiktirafan hasil untuk projek tertentu yang sedang berjalan.

 

"Kami menaikkan unjuran pendapatan bagi FY23/FY24/FY25 masing-masing sebanyak 47.7%/19.7%/17.5%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM10.1 juta pada 1HFY23 melebihi jangkaan, mencakupi 71.1% daripada anggaran tahun penuh firma itu.

 

Ia didorong oleh kemajuan kerja yang lebih tinggi daripada jangkaan berikutan ketibaan pekerja asing baharu.

 

Untung bersih 1HFY23 melonjak 79.7% kepada RM10.1juta kerana hasil meningkat 44.3% kepada RM325.0juta.

 

Prestasi pendapatan yang teguh didorong terutamanya oleh kemajuan kerja yang lebih tinggi dan margin kasar yang lebih baik disebabkan oleh penstabilan beransur-ansur bahan binaan tertentu dan kos buruh.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu 34 sen berbanding 28 sen sesaham sebelum ini. - DagangNews.com