Inta Bina Group jangka kenaikan kos bahan binaan, logistik akibat gangguan rantaian bekalan global | DagangNews Skip to main content

Inta Bina Group jangka kenaikan kos bahan binaan, logistik akibat gangguan rantaian bekalan global

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 April - Inta Bina Group Berhad menjangkakan kenaikan kos bahan binaan dan logistik pada FY22 ekoran gangguan rantaian bekalan global berpunca daripada konflik Rusia-Ukraine.

 

Kumpulan itu juga meramalkan kenaikan kadar faedah dan kenaikan harga minyak mentah yang akan memberi kesan secara langsung kepada kos operasi dan akan menurunkan margin keuntungan.

 

"Pemulihan ekonomi negara dijangka membantu meningkatkan semula permintaan domestik dan polisi fiskal untuk rangsangan ekonomi selain pemantauan varian virus baharu dalam mengekalkan momentum pemulihan.

 

"Faktor lain yang dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi adalah termasuk pengembangan berterusan dalam permintaan global dan program pelaburan utama dalam sektor awam serta swasta yang dijangka mewujudkan lebih banyak peluang untuk pasaran tempatan.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu akan kekal berhati-hati dengan potensi kenaikan kadar faedah dan situasi semasa konflik Rusia-Ukraine yang menjadi punca kepada kenaikan harga minyak mentah," katanya dalam laporan tahunan 2021 di Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, pendapatan tahunan mereka pada FY21 meningkat daripada RM280.3 juta kepada RM335.98 juta mewakili peningkatan sebanyak 19.8% dari tahun ke tahun.

 

Peningkatan itu adalah hasil pengiktirafan projek yang sedang berlangsung seperti Eco Ardence, Southville City, Kiara Kasih, Eco Sanctuary, Metropark dan sebagainya.

 

"Ini adalah disebabkan ketiadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan keberkesanan vaksin COVID-19 yang menyebabkan peningkatan aktiviti di kawasan pembinaan berbanding FY20," katanya.

 

Kumpulan itu juga merekodkan keuntungan kasar sebanyak RM31.54 juta pada FY21 berbanding RM26.59 juta pada FY20.

 

Walaupun jumlah pendapatan disatukan lebih tinggi tetapi margin keuntungan kasar mereka menurun daripada 9.48% pada FY20 kepada 9.39% pada FY21.

 

"Keuntungan sebelum cukai (PBT) untuk FY21 adalah sebanyak RM17.85 mewakili peningkatan 37.95% daripada RM12.94 juta pada tahun sebelumnya selepas mengambil kira kos operasi dan pentadbiran adalah sama," katanya. - DagangNews.com