KUALA LUMPUR 16 Dis - Inta Bina Group Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Inta Bina Sdn. Bhd. menerima surat anugerah daripada Gamuda Land (T12) Sdn. Bhd. bagi kontrak bernilai RM67.73 juta.
Kontrak itu membabitkan Fasa 1C-1 yang terdiri daripada 203 unit rumah teres dalam pembangunan yang dikenali 'Gamuda Cove', menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Katanya, kumpulan akan membiayai kontrak ini melalui dana dalaman dan atau pinjaman luar.
"Tempoh pembinaan adalah selama 18 bulan dan tarikh mula pada 15 Disember 2021," katanya.
Menurutnya, kontrak tersebut tidak akan memberi kesan kepada modal saham dan pemegangan saham utama Inta Bina.
Malah, ia dijangka menyumbang secara positif dalam pendapatan masa depan kumpulan bagi tempoh sepanjang kontrak ini. - DagangNews.com