Investcorp melabur dalam Heritage Foods, platform jenama perasa dan sos terkemuka di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Investcorp melabur dalam Heritage Foods, platform jenama perasa dan sos terkemuka di Malaysia

BAHRAIN 30 Jun - Investcorp, sebuah firma penyedia dan pengurus produk pelaburan alternatif global, hari ini mengumumkan ia telah melabur dalam Heritage Foods, sebuah platform beli-dan-bina bagi jenama-jenama perasa dan sos terkemuka yang telah lama bertapak di Malaysia, Singapura dan Jepun.

 

Urus niaga tersebut telah disempurnakan hasil kerjasama dengan China Resources dan Fung Strategic Holdings Limited menerusi Asia Food Growth Fund I, sebuah dana ekuiti swasta yang mengkhususkan kepada pelaburan dalam pelbagai portfolio syarikat berkaitan makanan di Asia.

 

Heritage Foods ditubuhkan pada 2015 dan terlibat secara amnya dalam pelaburan dan penyusunan semula perniagaan makanan dalam pasaran barang pengguna laris (FMCG) di Asia dan terlibat dalam pengambilalihan jenama makanan yang memiliki warisan Asia yang kukuh bagi memperluaskan kehadiran global mereka.

 

Heritage Foods yang beribu pejabat di Hong Kong dan pejabat serantau serta kilang pembuatan di Malaysia, Singapura, Jepun dan China mempunyai lebih daripada 300 orang pekerja dan rangkaian global yang terdiri daripada lebih 30 pengedar di China, Asia Tenggara, Asia Selatan, Timur Tengah, Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

 

Syarikat itu mempunyai pelbagai portfolio jenama terkenal dan mapan di seluruh Asia termasuk Hamada Shoyu di Jepun (ditubuhkan pada 1818), Bidor Kwong Heng di Malaysia (ditubuhkan pada 1945) dan Woh Hup Food di Singapura (ditubuhkan pada 1936).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Investcorp dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Asia Food Growth, Hazem Ben-Gacem berkata, Investcorp mempunyai rekod prestasi pelaburan yang mampan dalam syarikat sektor makanan dan merupakan hanya segelintir dari syarikat ekuiti swasta yang melabur dalam sektor ini di seluruh AS, Eropah, MENA dan Asia.

 

"Kami percaya sektor makanan Asia terus menawarkan peluang menarik dan Heritage Foods berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai pertumbuhan yang berterusan. Saiz pasaran sos dan perasa global dianggarkan berjumlah AS$130 bilion dan berkembang pada CAGR 5-6% dan sos Asia merangkumi lebih daripada 50% pasaran global.

 

"Kami melihat arah alir makro yang menarik bagi golongan kelas pertengahan di Asia yang meningkat, penggunaan sos yang tinggi dan pertumbuhan pesat casual dining dalam mendorong pertumbuhan pasaran. Kami yakin dengan kerjasama ini dan kami menyokong Syarikat dalam rancangan pengembangan global dalam merealisasikan potensi sepenuhnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Mengulas mengenai urus niaga tersebut, Pengarah Urusan Fung Investment Management Limited, Monica Tsui berkata, menerusi kerjasama dengan Investcorp dan China Resources, Fung Strategic Holdings akan terus memperluaskan perniagaan dalam sektor sos dan perasa dengan memanfaatkan capaian kerjasama pihaknya di China, Timur Tengah dan seluruh dunia.

 

Menurut beliau, pasaran sos dan perasa yang tidak seragam di Asia menawarkan banyak peluang pengambilalihan yang menarik dalam rancangan pertumbuhan syarikat.

 

Urus niaga tersebut merupakan pelaburan ke-21 Investcorp dalam industri makanan dan minuman dalam lebih dari tiga dekad di AS, Eropah, MENA dan Asia dan merupakan yang ketiga oleh Investcorp sebagai sebahagian daripada Asia Food Growth Fund I, berikutan pelaburan yang dibuat dalam Viz Branz dan City Super Group tahun lalu.

 

Investcorp telah menjalin usaha sama dengan China Resources Capital Management, anak syarikat pelaburan swasta China Resources Group, sebuah syarikat Fortune Global 500 dan pemilik kumpulan perusahaan rangkaian pasar raya terbesar di China, China Resources Vanguard, dan Fung Strategic Holdings Limited. Platform pelaburan utamanya memberi tumpuan untuk memanfaatkan potensi pertumbuhan dan peluang pasaran dalam sektor makanan Asia yang tidak seragam.

 

Ditubuhkan pada 1982, Investcorp adalah pengurus pelaburan global yang mengkhususkan kepada pelaburan alternatif dalam ekuiti persendirian, harta tanah, strategi pulangan mutlak, pegangan GP dan prasarana.

 

Investcorp kini beroperasi di 12 negara di AS, Eropah, GCC and Asia, termasuk India, China dan Singapura. Pada 30 Jun, 2020, Kumpulan Investcorp memiliki aset di bawah pengurusan (AUM) berjumlah US$32.2 bilion, termasuk aset yang diuruskan oleh pengurus pihak ketiga dan mempunyai sekitar 450 orang pekerja dari 44 kerakyatan di seluruh dunia. - DagangNews.com