InvestKL tarik pelaburan RM3.3 bilion pada separuh pertama 2024 | DagangNews Skip to main content

InvestKL tarik pelaburan RM3.3 bilion pada separuh pertama 2024

Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Muhammad Azmi Zulkifli
Oleh Syaza Norazharuddin

KUALA LUMPUR 25 Julai - InvestKL menarik pelaburan jumlah RM3.3 bilion, mewujudkan 3,389 pekerjaan serantau berkualiti tinggi melalui penubuhan enam hab perkhidmatan global.

 

Invest KL berkata pelaburan itu mengesahkan tarikan pelaburan di The Greater KL sebagai destinasi pelaburan utama, disokong oleh kemudahan menjalankan perniagaan negara, infrastruktur teguh, kumpulan bakat mahir, dan ekosistem bertenaga dipacu oleh inovasi.

 

Agensi penggalak pelaburan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berkata Malaysia mencatatkan pelaburan sebanyak RM83.7 bilion dalam  suku pertama tahun 2024(Q1 2024) menunjukkan peningkatan 13% berbanding tempoh yang sama tahun lepas, iaitu 47%, RM39.3 bilion daripada sektor perkhidmatan.

 

Katanya pencapaian itu menandakan peralihan ke arah pelaburan berorientasikan perkhidmatan. 

 

Sejurus dengan keputusan itu, InvestKL melabur dalam penubuhan hab perkhidmatan  dari rantau Amerika, Eropah dan Asia. 

 

Hab-hab perkhidmatan global itu termasuk Pusat Data dan Pusat Kecemerlangan dari Amerika Syarikat, Pusat Operasi Global dan Hab Perkhidmatan Perniagaan Global APAC dari United Kingdom, Pusat Pelaksanaan EPCI dari Jepun dan Ibu Pejabat Makmal Digital dari Singapura.

 


Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Muhammad Azmi Zulkifli berkata, keputusan separuh pertama tahun ini  menunjukkan impak berterusan InvestKL dalam mengukuhkan status Greater KL sebagai destinasi pelaburan teratas di rantau ini.

 

"Ini sejajar dengan sasaran 2024 kami untuk menarik hab perkhidmatan global dengan tumpuan pada teknologi dan aktiviti termaju yang akan merangsang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia. 

 

"Ini membuktikan kehadiran kami membawa lebih banyak perhatian tertumpu kepada Malaysia,” ulas beliau.

 

Sehingga hari ini, InvestKL telah menarik lebih 140 Hab Perkhidmatan Global oleh syarikat terkemuka yang menggaji lebih 27,000 eksekutif dengan purata gaji bulanan RM17,000.

 

InvestKL turut berkata tinjauan stabil Malaysia dan usaha rasionalisasi baru-baru ini telah menyumbang kepada lonjakan dalam pelaburan langsung asing (FDI) diikuti dengan pelaburan yang semakin meningkat dalam teknologi digital, termasuk perisian, Generatif kecerdasan buatan (Gen AI), inovasi hijau dan pusat data. 

 

"Negara juga menjangkakan gelombang pelaburan dalam tenaga hijau dan kemampanan melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), seterusnya membina keupayaan dalam sektor teknologi digital.

 

"Dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 4% hingga 5% tahun ini, didorong oleh pelaburan dan permintaan luar, hala tuju strategik InvestKL akan memberi tumpuan kepada menarik perkhidmatan global daripada sektor utama seperti digital dan teknologi, kejuruteraan, teknologi kesihatan, dan tenaga boleh diperbaharui, sementara juga menekankan pembangunan modal insan," ujarnya.- DagangNews.com