IOI Corp raih untung bersih RM1.11 bilion pada FY24, segmen pembuatan beri sumbangan rendah | DagangNews Skip to main content

IOI Corp raih untung bersih RM1.11 bilion pada FY24, segmen pembuatan beri sumbangan rendah

Segmen pembuatan IOI Corp catat penyusutan untung lebih 50% pada FY24. -Gambar IOI
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Untung bersih tahun kewangan 2024 (FY24) IOI Corporation Berhad susut 0.4% kepada RM1.109 bilion berbanding RM1.114 bilion yang dicatatkan pada FY23.

 

Pendapatan IOI Corp bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 itu pula berjumlah RM9.6 bilion, lebih rendah berbanding FY23 sebanyak RM11.58 bilion setahun sebelumnya.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, penurunan keuntungan disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen pembuatan berasaskan sumber, yang diimbangi oleh hasil lebih tinggi daripada segmen perladangan.

 

"Untuk FY2024, Kumpulan melaporkan PBT (Keuntungan Sebelum Cukai) sebanyak RM1.398 bilion berbanding RM1.526 bilion yang dilaporkan untuk FY2023. 

 

"Mengecualikan item-item bukan asas seperti yang dinyatakan di bawah, PBT asas sebanyak RM1.38 bilion untuk FY2024 adalah 23% lebih rendah daripada PBT asas sebanyak RM1.78 bilion untuk FY2023," katanya hari ini.

 

Menurut pemakluman itu, keuntungan segmen pembuatan berasaskan sumber untuk FY24 adalah RM329.3 juta berbanding RM691.0 juta untuk FY2023.

 

Katanya, margin yang lebih tinggi yang dicatatkan segmen pembuatan pada FY2023 adalah disebabkan oleh permintaan pelanggan yang lebih kuat yang dipacu oleh gangguan rantaian bekalan global. 

 

"Selain itu, dasar Indonesia yang mengehadkan eksport MSM (minyak sawit mentah) pada tempoh tersebut juga menyumbang kepada margin yang lebih baik," jelasnya.

 

Bagi suku keempat FY24 (4QFY24), IOI Corp meraih untung bersih RM346.9 juta, berbanding RM37.2 juta setahun sebelumnya.

 

Pendapatan 4QFY24 pula berjumlah RM428.5 juta berbanding RM93.1 juta pada tempoh sama FY23.

 

Mengenai prospek FY25, IOI Corp berkata, ntuk segmen perladangan, pengeluaran buah tandan segar (FFB) dijangka lebih tinggi pada FY25 berbanding FY24 walaupun dengan program penanaman semula yang dipercepatkan di Sabah. 

 

"Pertumbuhan ini dijangka dipacu oleh peningkatan produktiviti buruh yang berterusan di Semenanjung Malaysia dan peningkatan pengeluaran FFB dari pokok-pokok muda kami. 

 

"Akibatnya, kos pengeluaran MSM juga dijangka lebih rendah daripada FY2024. Secara keseluruhan, kami mempunyai pandangan positif mengenai prestasi kewangan dan operasi segmen perladangan pada FY25," katanya.- DagangNews.com